fbpx
Kebakaran tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal tinggal 1 peratus pada hari ke-22 hari ini.

Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung tinggal 1 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Kebakaran tapak pelupusan sampah seluas kira-kira 11.3 hektar di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini hampir padam sepenuhnya apabila hanya tinggal satu peratus pada hari ke-22 hari ini.

Usaha pemadaman ketika ini diteruskan oleh pasukan dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan syarikat PLB Terang Sdn. Bhd. (PLB) selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menamatkan operasi pada hari ke-20.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata, operasi ketika ini diteruskan dengan kaedah korekan menggunakan jengkaut serta pancutan air oleh MBSP dan MBPP di sektor 4 dan 5.

Beliau berkata, tambakan tanah merah oleh PLB bagi ‘fire breaker’ dan laluan kecemasan yang baharu bagi sektor 3 dan 4 juga telah disiapkan.

“Manakala di sektor 1 dan 2, pemadaman dengan lori tangki MBSP dan MBPP dibuat di kawasan yang masih berasap.

“Peratusan terkini kawasan kebakaran adalah tinggal satu peratus dari keseluruhan kawasan di tapak fasa 1,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran telah dapat dikawal dan kerja pengorekan tanah oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diteruskan bagi untuk kerja penutupan kawasan yang telah terpadam.

Terdahulu, akhbar melaporkan kejadian kebakaran sejak hampir 3 minggu lalu itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar.

Kejadian itu menyebabkan sebanyak 86 keluarga dengan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan kawasan itu terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan nyawa mereka selain sepuluh buah sekolah turut ditutup tiga hari. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN