PETALING JAYA – Dataprep Holdings Bhd (Dataprep) melalui anak syarikatnya, Dataprep Asia Sdn. Bhd. telah dilantik secara rasmi oleh Asia Coding Centre Sdn. Bhd. (Asia Coding) sebagai Rakan Penghantar secara eksklusif bagi kesemua projek yang melibatkan jumlah penyumberan penyelesaian bersepadu untuk peralatan diagnostik molekul menggunakan Ujian Molekul Rapid Covid-19 di bawah jenama MiCo BioMed.
Menurut makluman Kumpulan ke Bursa Malaysia, melalui pelantikan tersebut diikuti oleh surat yang diterima daripada Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan ujian imbasan Ujian Molekul Rapid RT-PCR di tapak sedia ada khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan di Tambak Johor.
Pengarah Urusan Kumpulan Dataprep, Mohamad Sabir Mohamad Sabri berkata, inisiatif ini seiring dengan usaha kerajaan untuk membuka sempadan kepada pengembara luar negara bersesuaian untuk mengembalikan pemulihan ekonomi negara.
“Kami kini bersedia untuk memberi sokongan kepada usaha kerajaan untuk membuka sempadan dan kami juga berkeyakinan ia akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan selamat,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, melalui pelantikan tersebut, ia bakal menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan untuk tahun kewangan 2022 dan juga akan datang.