BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata gerakan koperasi perlu mewujudkan pemborong bagi membolehkan koperasi mampu membeli secara pukal seterusnya membantu kerajaan menjual barangan pada harga yang rendah.
Beliau berkata, dengan lebih 1,500 kedai runcit koperasi sedia ada seluruh negara kewujudan pemborong koperasi amat signifikan bagi membekalkan barangan kepada seluruh koperasi dengan harga yang lebih murah.
“Kalau ini dapat dilakukan, harga di kedai koperasi dapat diturunkan bukan sahaja untuk ahlinya malah turut memberikan manfaat kepada penduduk setempat.
“Bayangkan kalau kedai koperasi dapat menjual sehingga 20 peratus diskaun, tentunya ramai pengguna akan beli di kedai-kedai koperasi,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Pekebun Kecil Daerah Bera di Dewan Masjid Nurulsallam, Kampung Batu Papan di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri beliau akan berbincang dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam merealisasikan perkara itu.
Katannya jika diwujudkan, pemborang koperasi boleh membeli barangan keperluan seperti beras secara pukal dan dibekalkan kepada semua kedai runcit koperasi di seluruh negara.
Dalam pada itu beliau berkata, di seluruh negara, terdapat tujuh juta ahli koperasi dan langkah itu pasti dapat membantu rakyat terutama ahli gerakan tersebut membeli dengan harga murah.
“Saya harap selain tindakan kerajaan, gerakan koperasi pun boleh membantu kerajaan dalam menurunkan harga barangan,”ujarnya. – K! ONLINE














