fbpx
SITI mengaku nafsunya lebih tertarik dengan pasangan sejenis berpenampilan lelaki sejak di bangku sekolah menengah. – GAMBAR HIASAN

K2

Isteri bahagia di sisi pengkid berbanding suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KADANGKALA berlaku sesuatu yang tidak terduga dalam pergaulan pasangan suami isteri dan semuanya adalah ujian yang perlu dihadapi sebagai sebahagian daripada asam garam kehidupan.

Inilah yang cuba ditampilkan dalam kisah Dari Mahkamah Syariah pada minggu ini yang membawakan cerita seorang isteri yang terjerat dengan cinta pengkid hingga mengabaikan tanggungjawab terhadap suami sendiri.

Untuk tidak mahu digelar lelaki dayus, akhirnya suami melafazkan talak satu selepas isterinya enggan berubah selepas diminta berbuat demikian untuk menyelamatkan ikatan perkahwian tersebut.

Mereka berdua sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di Pulau Pinang dan perkahwinan yang baru mereka bina selama lima bulan terlerai begitu saja.
———————————————————————————————————————————————-
BELUM bertemu jodoh pada usia 37 tahun kerana kesibukan bekerja membuatkan Ayie (bukan nama sebenar meminta ibu bapanya mencari calon isteri buat dirinya.

Katanya, dia memang tidak pernah memikirkan soal rumah tangga biarpun usianya semakin meningkat memandangkan terlalu sibuk dengan urusan kerja seharian.

Saat yang dinantikan akhirnya tiba apabila seorang rakan kepada ibu Ayie memperkenalkan anak saudaranya, Siti (bukan nama sebenar) yang berusia pertengahan 20-an kepadanya.

“Rakan ibu tidak memaksa, cuma meminta saya berkenalan terlebih dahulu untuk mengenali hati budi gadis itu.

“Pada usia pertengahan 20-an dan memiliki wajah yang cantik, saya terus jatuh hati pandang pertama saat melihatnya,” jelasnya.

Menurut Ayie, setelah beberapa kali keluar bersama, dia menyuarakan hasrat kepada ibunya untuk menjadikan gadis itu sebagai isteri yang sah.

Akhirnya, kedua-dua keluarga bersetuju untuk menjodohkan mereka berdua dan perkahwinan dilangsungkan dalam suasana yang sederhana tetapi meriah.

Ayie mengakui, ketika berkenalan, isterinya itu seorang yang pendiam tak tidak banyak bercakap, seolah-olah tidak tertarik dengan lelaki.

Tempoh dua bulan pertama perkahwinan, hubungan mereka baik-baik sahaja.
Namun begitu, Ayie dapat rasakan isterinya itu tidak mempunyai keinginan sewaktu mereka bersama.

“Dia menunaikan tanggugjawab sebagai seorang isteri apabila saya minta untuk bersama.

“Tetapi apa yang saya rasakan, dia sekadar melaksanakan tanggungjawab semata-mata dan bukannya kerana mempunyai keinginan yang sama,” jelasnya.

Selain itu, dia juga mendapati isterinya itu sering menghabiskan masa dengan telefon pintar dan jarang mempedulikannya sebagai seorang suami.

“Sewaktu awal perkahwinan, Siti telah menyatakan bahawa telefon pintar adalah hak peribadi masing-masing.

AYIE terkejut selepas melihat kandungan WhatsApp di telefon isterinya mendapati Siti mempunyai hubungan dengan seseorang. – GAMBAR HIASAN

“Saya hormat keputusannya itu dan tidak pernah cuba untuk membaca apa yang ada di telefon pintarnya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, apa yang mencurigakan Ayie, isterinya sering keluar bersendirian dan apabila ditanya, dia mengatakan mahu berjumpa dengan rakan dan tidak mahu ditemani.

Disebabkan terlalu curiga, akhirnya Ayie mengambil keputusan untuk menghafal kata laluan dan melihat isi kandungan telefon pintar isterinya sewaktu Siti diulit mimpi.

“Alangkah terkejutnya, selepas membaca perbualan WhatsApp di telefon isterinya, rupa-rupanya Siti mempunyai hubungan dengan seseorang.

“Saya juga turut membuka galeri gambar dan mendapati ada gambar-gambarnya bersama seseorang. Pada pandangan saya orang itu adalah seorang wanita yang berperwatakan seperti lelaki atau pengkid,” jelasnya.

Keesokan harinya, Ayie meminta penjelasan isterinya tentang perkara itu.
Siti amat marah kerana Ayie tidak berpegang kepada janji dan ‘membuka’ telefon pintarnya tanpa izinnya.

Akhirnya, Siti menjelaskan bahawa individu itu adalah kekasihnya dan dia berkahwin dengan Ayie kerana dipaksa orang tuanya.

Dia juga menyatakan bahawa nafsunya lebih tertarik dengan pasangan sejenis yang berpenampilan lelaki sejak di bangku sekolah menengah lagi.

Ayie tergamam selepas mendengar pengakuan jujur daripada Siti dan menasihatinya untuk berubah kerana dia kini sudah bersuami.

Selepas kejadian itu, Ayie ingatkan Siti sudah berubah dan mendengar nasihatnya, tetapi rupa-rupanya masih berhubung dengan dengan pasangannya dan mereka masih keluar bersama.

Ada kalanya, Siti tidak pulang ke rumah dan pergi bercuti dengan pasangannya tanpa kebenaran.

Kerana tidak mahu dilabel sebagai lelaki dayus dan enggan berterusan menanggung dosa isterinya itu memandangkan Siti tidak juga berubah, akhirnya Ayie nekad menjatuhkan talak satu.

Akhirnya mereka berdua sah bercerai di sebuah mahkamah syariah di Pulau Pinang dan perkahwinan yang baru mereka bina selama lima bulan terlerai begitu saja.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN