Gangguan itu dialami oleh berjuta-juta pengguna seluruh dunia yang tidak dapat mengakses aplikasi mereka. – AFP

Facebook, WhatsApp, Instagram kembali pulih selepas tujuh jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LONDON – Gangguan seluruh dunia yang dialami perkhidmatan media sosial Facebook, WhatsApp dan Instagram dilaporkan kembali pulih selepas lebih tujuh jam tergendala, lapor akhbar Daily Star hari ini.

Gangguan tersebut memberi kesan terhadap berjuta-juta pengguna yang tidak dapat menggunakan akaun mereka, membuka aplikasi atau menghantar pesanan ringkas kepada pengguna lain.

Pakar-pakar dari syarikat keselamatan komputer, Cloudflare berkata, para pekerja teknologi maklumat di Facebook Inc. telah menyelesaikan beberapa isu berkaitan pelayan, sekali gus memulihkan kembali aplikasi-aplikasi tersebut.

Pengguna dilaporkan mula menghadapi kesukaran untuk membuka aplikasi-aplikasi tersebut kira-kira pukul 11 malam semalam, waktu Malaysia.

Platform Downdetector, yang melaporkan status pelayan bagi beberapa laman web popular dunia turut menerima 75,600 laporan berkaitan WhatsApp sahaja.

Gangguan tersebut turut melibatkan para pekerja Facebook yang dilaporkan tidak dapat memasuki pejabat mereka disebabkan pas pekerja tidak boleh berfungsi.

Susulan gangguan tersebut, syarikat teknologi antarabangsa itu mengeluarkan kenyataan permohonan maaf kepada pengguna dengan menggunakan aplikasi pesaingnya, Twitter.

“Buat seluruh komuniti pengguna dan perniagaan di seluruh dunia yang bergantung kepada kami. Kami memohon maaf. 

“Kami telah bekerja keras untuk memulihkan semula akses kepada perkhidmatan aplikasi-aplikasi media sosial dan kini, sukacita dimaklumkan bahawa kesemua aplikasi kembali pulih seperti sedia kala. Terima kasih atas kesabaran anda,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, laporan menyebut masalah itu dipercayai berlaku bukan disebabkan aktiviti godaman meskipun terdapat kebarangkalian bahawa ia adalah tindakan sabotaj oleh pekerja.

Pemilik Facebook Inc, Mark Zuckerberg dilaporkan mengalami kerugian sebanyak AS$6 bilion (RM25 bilion) dalam tempoh 24 jam lepas. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN