fbpx
GAMBAR HIASAN

RM109 juta lesap dalam tempoh 20 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sikap tamak mahu mendapatkan pulangan berlipat ganda dalam masa singkat terutama di musim pandemik Covid-19 ini menyebabkan ada dalam kalangan masyarakat terjebak dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

Lebih malang lagi, mangsa sanggup ‘meleburkan’ wang simpanan dan pampasan akibat kehilangan pekerjaan selepas terperdaya dengan sindiket yang menjanjikan pulangan 100 peratus dalam masa 24 jam.

Perkara itu didedahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew yang membe­ritahu, pihaknya merekodkan kerugian berjumlah RM109.5 juta sejak 2020 sehingga bulan lalu.

Menurut beliau, lebih membimbangkan bilangan kes yang diterima meningkat 175 peratus apabila 353 kes direkodkan pada Januari hingga Ogos lalu berbanding 128 kes dalam tempoh sama pada tahun 2020.

“Trend ini dipengaruhi oleh sikap orang ramai yang mahu mendapatkan pendapatan sampingan dengan cara mudah berikutan pergerakan terhad selain terpedaya dengan janji manis sindiket kerana tidak mempunyai ilmu berkaitan pelaburan.

“Mangsa mudah terperdaya dengan tawaran pelaburan yang mampu menjana 100 peratus pulangan dalam masa 24 jam sedangkan perkara tersebut adalah mustahil,” katanya kepada Kos­mo! Ahad di sini baru-baru ini.

Di musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya menerima sebanyak lapan kes yang direkodkan sejak 18 Mac hingga 12 Mei tahun lalu melibatkan kerugian berjumlah RM530,008.

Jelas beliau, semasa PKP 2.0 pula, bilangan kes meningkat kepada 14 kes melibatkan kerugian RM403,994.50 dan 76 kes de­ngan kerugian berjumlah RM29.5 juta direkodkan semasa PKP 3.0 bermula dari 12 Mei hingga 31 Julai lalu.

“Modus operandi sindiket adalah dengan mewujudkan akaun maya bagi menyakinkan mangsa dan mereka akan dipujuk untuk melabur selepas ditunjukkan dengan pulangan angka-angka besar.

“Ada sindiket yang berjaya memujuk mangsa dengan hanya menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp,” jelasnya.

MUHAMMAD YAZID

Tambah Muhammad Yazid, orang ramai yang bercadang untuk me­labur perlu mempunyai akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) de­ngan remiser atau broker, sebaliknya ia tidak diperlukan bagi sindiket penipuan.

“CDS ini berfungsi untuk menyimpan dan mengemas kini saham setelah seseorang itu membuat urusan belian dan jualan.

“Akaun CDS boleh dibuka di mana-mana bank pelaburan dan syarikat broker berdaftar dengan Bursa Malaysia,” katanya.

Ujar beliau lagi, impian mang­sa untuk mengeluarkan hasil pelaburan juga tidak tercapai, sebaliknya mereka akan terus diperdaya apabila diminta membuat pelbagai bayaran termasuk kos guaman sebelum gagal dihubungi,” katanya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa tanpa melakukan semakan apabila ditawarkan pulangan yang tidak masuk akal yang jelas bermotifkan penipuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN