fbpx

Donda, tantrum muzik Kanye West

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAHU dikenali sebagai Ye, menerusi Donda, Kanye West dilihat banyak berkolaborasi dengan pemuzik lelaki yang selama ini banyak membuat onar terhadap kaum wanita.

HANYA ada seorang pemuzik yang buat kerja gila menyewa keseluruhan Stadium Mercedes-Benz di Atlanta, Amerika Syarikat selama seminggu untuk menyiapkan diskografinya. Pemuzik itu tidak lain dan tidak bukan ialah lelaki bernama Kanye West ataupun baru-baru ini ingin dikenali sebagai Ye.

Album ke-10 Ye akhirnya bertemu dengan peminat pada 29 Ogos 2021 selepas beberapa pelancaran album ‘palsu’ diadakan. Tidak pasti untuk tujuan promosi atau sebaliknya, tetapi yang pasti, apabila Ye muncul dengan buah tangan baharu, ada banyak perkara yang perlu digali tentang perkongsiannya.

Donda mengandungi 27 buah trek dan durasinya sepanjang, satu jam 48 minit. Bukan itu sahaja, album tersebut turut mengumpul ramai bintang ‘gred A’ dunia seperti Jay-Z, Baby Keem, Pusha T, Kid Cudi, The Weeknd, Lil Baby, Travis Scott, Lil Yachty, Lil Durk, Young Thug dan Jay Electronica.

Buat penulis, Donda merupakan sebuah album yang sarat dengan terlalu bermacam perkara. Hubungan dengan Tuhan, kisahnya masuk penjara, peringatan buat ibu, selingkuhnya terhadap isteri dan bermacam perihal lain.

Mendiang ibu

Sekadar informasi, Donda yang dijadikan judul album ialah nama mendiang ibu Ye, Dr. Donda C. West. Dia semestinya merupakan antara wanita yang memainkan peranan penting dalam hidup Ye, selain seorang lagi wanita lain yang juga mantan isteri, Kim Kardashian.

Ironi, kalau benar Ye melunaskan album kali ini sebagai lambang tribut kepada mendiang ibunya, penulis tidak nampak keseragaman dalam aspek yang disebutkan itu.

Biarpun Donda berasal daripada nama seorang wanita dan sepatutnya diangkat selembut sutera sebaliknya dicelarukan dengan terlalu banyak kolaborasi, terutama bersama golongan lelaki yang telah banyak membuat onar terhadap kaum Hawa.

Ye berkolaborasi dengan Chris Brown menerusi trek New Again dan kita semua tahu Chris pernah melakukan kekerasan terhadap Rihanna. Ye juga bekerjasama dengan DaBaby yang baru-baru ini dikecam ramai kerana bermulut celupar. Mereka menyatu idea menerusi trek berjudul Jail.

Ironi, kolaborasi

Ye juga memilih untuk berkolaborasi dengan seorang lagi artis yang telah banyak melakukan kepincangan iaitu Marilyn Manson. Marilyn berdepan beberapa pertuduhan mahkamah disebabkan salah laku seksual.

Itu antara beberapa perkara yang penulis sifatkan sedikit ironik tentang Donda, namun tidak mencacatkan perjalanan atau naratif keseluruhan album.

Kalau tanya trek kegemaran, Off The Grid (feat Playboi Carti & Fivio Foreign) dan Hurricane (feat. Lil Baby & The Weeknd) duduk di posisi teratas.

Off The Grid memberi bukti kukuh bahawa Kanye boleh menjadi mentor yang bagus dan Fivio yang masih sedikit asing dalam arena muzik arus perdana melakukan yang terbaik menerusi verse dalam lagu.

Penulis dapat merasakan Fivio cukup cakna yang Donda akan jadi antara album yang paling mencuri tumpuan untuk 2021 dan tidak tidak mahu ketinggalan, malah satu bar dalam nyanyian rapnya.

Bagaimana Ye dalam Off The Grid? Apa yang ditonjolkannya (rapping) dalam karya berkenaan barangkali antara yang terbaik selepas era The Life of Pablo. Jika khalayak berpendapat ‘fan-favourite’ Hurricane layak jadi single pertama Donda, rasanya Ye berdepan kesukaran untuk memilih antara lagu tersebut dengan Off The Grid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI