fbpx
Gambar hiasan.

Beli buah pinggang RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Buah pinggang adalah organ manusia yang mendapat permintaan paling tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia yang mahu membelinya di pasaran gelap di luar negara ekoran kesukaran pesakit mendapatkan penderma organ tempatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Transplan Malaysia, Dr. Hirman Ismail berkata, ramai pesakit di negara ini sedang menunggu untuk melakukan pemindahan buah pinggang.

“Malaysia ada lebih 40,000 pesakit yang sedang menjalani dialisis dan kira-kira satu pertiga daripadanya boleh menjalani transplan, namun pendermaan organ oleh orang yang telah me­ninggal dunia pula kurang 100 orang setahun.

“Harga organ di pasaran gelap tidak tetap, ada pesakit membe­ritahu harganya dalam lingkungan RM100,000 hingga RM200,000,” katanya kepada Kos­mo! semalam.

Hirman memberitahu, organ manusia lain yang turut dicari di pasaran gelap adalah hati dan setakat ini beliau tidak pernah mendengar rakyat Malaysia pergi ke luar negara untuk membeli jantung.

Katanya, negara-negara yang kerap dituju rakyat Malaysia bagi mendapatkan organ manusia di pasaran gelap adalah China atau India dan sedikit kes pernah dilaporkan di Sri Lanka.

“Urusan jual beli organ manusia kebiasaannya dilakukan me­lalui ejen di luar negara, namun tidak menolak kemungkinan wujud broker mereka yang bero­perasi di Malaysia,” ujarnya.

DR. HIRMAN

Menurutnya, maklumat berhubung rakyat Malaysia menjalani transplan di luar negara hanya diketahui selepas mereka pulang ke Malaysia dan mendapatkan rawatan susulan di hospital kerajaan atau swasta.

Ujarnya, kos rawatan susulan termasuk ubat-ubatan adalah sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.

“Malaysia sejak tahun 2012 mempunyai polisi yang tidak lagi memberi bekalan ubat antipenolakan secara percuma kepada mereka yang menjalani transplan di luar negara.

“Negara kita juga tidak menggalakkan rakyat membeli organ di pasaran gelap selaras dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Deklarasi Istanbul.

“WHO telah menetapkan bahawa jual beli organ tidak boleh dilakukan dan amalan itu bercanggah dengan etika perubatan,” katanya.

KEGIATAN jual beli organ manusia akan menyebabkan golongan miskin akan dieksploitasi untuk menjual organ mereka. – GAMBAR HIASAN

Hirman berkata, aktiviti jual beli organ di pasaran gelap tidak digalakkan kerana ia mengundang perbuatan tidak bermo­ral yang akan mengeksploitasi golongan miskin yang ketiadaan wang.

Tambah beliau, transplan di luar negara juga tidak diketahui selamat memandangkan India dan China juga memiliki undang-undang yang tidak membenarkan penjualan organ.

“Kebanyakan pesakit pergi ke sana atas urusan persendirian dengan hospital terlibat. Maka kita ragu-ragu kerana hospital di negara terbabit sepatutnya tidak boleh melakukan transplan (organ dari pasaran gelap),” ujarnya.

Beliau menerangkan, transplan perlu dilakukan dengan cepat kerana buah pinggang cuma boleh bertahan dalam tempoh 24 jam selepas dikeluarkan dan hati 12 jam, manakala jantung pula selama enam jam.

Katanya, pesakit serta pen­derma pula wajib daripada kumpulan darah yang sama.

“Bagi mengelakkan kegiatan ini berlaku, lebih ramai rakyat Malaysia digalakkan untuk menjadi pengikrar penderma organ selepas mereka meninggal dunia.

“Kaedah seterusnya adalah memasukkan perbuatan jual beli organ sebagai satu kesalahan di sisi undang-undang dalam Akta Tisu Manusia 1974 termasuk berkait perbuatan menawarkan wang kepada yang mahu menjual buah pinggang.

“Setakat ini, tiada peruntukan dalam Akta Tisu Manusia 1974 disebut secara spesifik bahawa aktiviti jual beli organ tidak dibenarkan dan boleh dikenakan tindakan,” jelasnya. -K! ONLINE

 

Dosa guna ‘barang’ curi – Mufti

PETALING JAYA – Umat Islam yang berhasrat menjalani pemindahan organ di luar negara dinasihatkan supaya tidak menggunakan organ yang diambil secara paksa daripada mangsa yang telah dieksploitasi dan me­langgar undang-undang.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata, perkara itu adalah jelas berdasarkan hukum syarak iaitu benda yang mahu dimiliki tidak boleh daripada benda yang dicuri.

“Macam kita solat guna sejadah yang dirampas, maka solat itu sah, tetapi berdosa.

“Orang yang mendapatkan rawatan (pembedahan) mungkin tidak tahu tentang organ itu, namun kita mahu organ yang jelas, bersih dan bukan dicuri,” kata­nya ketika dihubungi Kosmo!.

BUAH pinggang antara organ yang mendapat permintaan tinggi rakyat Malaysia. – GAMBAR HIASAN

Sementara itu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, hukum menjalani pembedahan transplan adalah harus apabila keadaan memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, umat Islam tidak digalakkan menjalani pembedahan itu di luar negara kerana dikhuatir organ yang diperoleh tidak selamat dan diragui.

“Kita seharusnya melakukan transplan dengan nasihat pakar, namun jika pakar sendiri tidak telus dan kita rasa berisiko tinggi, maka ia tidak perlu diteruskan,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN