YAN – Penduduk yang tinggal berhampiran Gunung Jerai, di sini berharap agar segala aktiviti pemujaan dan khurafat di kawasan itu dapat dihentikan dan dibersihkan.
Malah, sebilangan penduduk beranggapan bencana kepala air yang melanda daerah Yan dan Kuala Muda pada Rabu lalu merupakan ‘amaran’ kepada mereka yang terlibat supaya menghentikan perbuatan tersebut.
Aktiviti seperti bertapa, memuja nombor ekor dan mandi bunga dikatakan banyak dilakukan golongan tidak bertanggungjawab terutama di Telaga Tok Sheikh di puncak Gunung Jerai.

Kebanyakan mereka datang bertapa kerana menganggap kawasan itu suci kerana mempunyai kaitan dengan pendeta dari Arab, Sheikh Abdullah Al Qumairi yang mengislamkan Sultan Kedah ke-9, Sultan Muzaffar Shah pada 1136 Masihi.
Seorang penduduk Kampung Kepala Bukit, Syed Yahya Syed Puteh, 81, berkata, dia percaya bencana kepala air itu sebagai satu amaran supaya semua perbuatan khurafat tidak lagi dilakukan di situ.
“Saya dilahirkan di kawasan kaki gunung ini dan aktiviti itu ada dilakukan oleh golongan tertentu, malah ada juga pengunjung luar sanggup datang dengan harapan segala hajat dan keinginan mereka dimakbulkan,” katanya ketika ditemui di Kampung Kepala Batu, di sini semalam.

Tambahnya, jika pergi ke Telaga Tok Sheikh pasti ada banyak sampah seperti baju, bekas makanan dan barangan lain yang ditinggalkan.
Berita berkaitan: Puja nombor ekor ketika bulan penuh
“Saya ingin ingatkan supaya jangan cemari tempat berkenaan dengan sampah dan aktiviti khurafat kerana ia pernah dilawati orang baik dan alim tambahan bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Sharifah Adawiyah Syed Yahya, 50, berkata, dia selalu ke puncak gunung dan melihat ada pelbagai aktiviti khurafat yang dijalankan di telaga itu.
“Saya sendiri mengalami beberapa pengalaman mistik ketika ke puncak gunung itu seperti terserempak wanita dan pemuda yang sedang solat di tepi gua.
“Walaupun tempat aktiviti ini sukar dibersihkan atau ditutup kerana mereka boleh buka di tempat lain memandangkan gunung ini besar, saya harap pihak berkuasa memantau aktiviti khurafat di sana,” ujarnya.
Kosmo! pada 10 November 2020 melaporkan, kawasan Gunung Jerai dikesan masih dicemari amalan pemujaan nombor ekor, upacara tarik wang selain membuang sial. -K! ONLINE














