fbpx
Pelbagai jenis bunga yang dipercayai digunakan untuk mandi bunga ditemui di sekitar Perigi Tok Syeikh di Gunung Jerai, Yan baru-baru ini.

Puja nombor ekor ketika bulan penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

YAN – Gunung Jerai di sini se­tinggi 1,217 meter dari aras laut adalah destinasi popular terutama dalam kalangan pencinta alam semula jadi dan peminat aktiviti pendakian di negara ini.

Bagaimanapun, gunung itu masih dicemari amalan pemujaan nombor ekor dan upacara tarik wang yang dilakukan oleh mereka yang mahu mendapatkan duit dengan cara mudah.

Tinjauan Kosmo! di gunung itu baru-baru ini mendapati, aktiviti pemujaan terutama di kawasan Batu Kapal, Air Terjun Puteri Mandi, Perigi Tok Syeikh dan Padang Tok Syeikh masih wujud.

Limau nipis, limau purut, bunga-bungaan dan sintok antara yang ditemui di kawasan itu dipercayai untuk kegiatan pemujaan nombor ekor dan tarik wang selain mandi bunga.

Kesemua bahan pemujaan dan mandi bunga tersebut kelihatan masih baharu.

Seorang penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Hamid berkata, dia kerap berkunjung ke Gunung Jerai dan amalan khurafat itu telah berlaku sejak sekian lama.

“Mereka datang dengan pelbagai tujuan dan sanggup bermalam terutamanya ketika bulan penuh mengikut kalendar Islam untuk mencapai hajat masing-masing.

“Selain aktiviti pemujaan, proses pertapaan untuk menjadi bomoh yang turut melibatkan kaum wanita juga dilakukan di gunung itu,” katanya ketika ditemui.

Pak Hamid memberitahu, antara tempat yang dianggap ‘pa­ling sesuai’ untuk pemujaan ialah di sekitar kawasan Air Terjun Puteri Mandi dan Batu Kapal ke­rana dianggap keramat selain Perigi

Tok Syeikh yang turut menjadi lokasi untuk mandi bunga.

Seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Said berkata, dia sering mendaki Gunung Jerai untuk mencari batu cincin.

“Saya hairan kerana kegiatan khurafat ini masih berlaku di Gunung Jerai berdasarkan sisa bahan pemujaan seperti limau purut dan bunga-bungaan yang ditinggalkan di lokasi terlibat.

“Banyak tinggalan lain seperti kain merah, kain kuning dan bekas colok turut ditemui. Keadaan ini memberi gambaran buruk kepada pengunjung,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya Kedah, Mohd. Firdaus Ahmad ketika dihubungi berkata, orang ramai tidak sepatutnya menjadikan kawasan ter­tentu seperti hutan serta Gunung Jerai sebagai lokasi pemujaan.

“Banyak lagi cara untuk berubat seperti perubatan tradisional yang bersandarkan ayat-ayat al-Quran atau mendapatkan khidmat perubatan moden.

“Bukan mengamalkan pemujaan atau mandi bunga kerana aktiviti sebegini banyak menjurus ke arah perbuatan khurafat dan dilarang agama,” katanya.

Mohd. Firdaus mahu pihak berkuasa melakukan pemantauan berterusan untuk menghapuskan kegiatan pemujaan di Gunung Jerai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN