PETALING JAYA – Agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah dihujani ribuan panggilan telefon daripada rakyat negara ini yang berhasrat untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini selepas dibenarkan kerajaan Arab Saudi bermula 9 Ogos ini.
Pengarah Urusan Five Estec Travel Services Sdn. Bhd., Sharizan Mohd. Saad berkata, pihaknya sudah mula menerima pertanyaan sejak beberapa hari lalu daripada orang ramai yang merancang untuk menunaikan umrah.
“Memang ramai yang sudah mula bertanyakan (umrah). Ini bermakna sudah ada permintaan selepas sekian lama kami (agensi pelancongan) sepi disebabkan pandemik Covid-19.
“Mereka tetap mahu menunaikan umrah walaupun kos untuk melaksanakan ibadah ini mungkin meningkat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya telah bersiap sedia bagi tujuan tersebut termasuk berkaitan urusan mutawif.
“Buat masa ini, kami hanya menunggu pengumuman rasmi kerajaan Malaysia (untuk tindakan seterusnya),” katanya.
Mengulas lanjut, Sharizan memberitahu, pihaknya turut membuat penjelasan kepada orang ramai mengenai prosedur melaksanakan umrah di musim pandemik yang berbeza berbanding sebelum musim-musim sebelum ini.
Menurut beliau, perubahan tersebut adalah berdasarkan kepada ketetapan prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak kerajaan Arab Saudi.
“Antara SOP yang ditetapkan misalnya jemaah tidak dibenarkan memasuki dan melakukan solat di Masjidil Haram sesuka hati kerana ada masa ditetapkan untuk tujuan tersebut.
“Setakat ini kami masih menunggu sekiranya ada syarat lain dan SOP terbaharu. Kita bimbang jemaah kecewa kerana mereka buat bayaran tetapi ada perkara yang tidak dapat dilakukan di sana,” kata beliau.
Berita berkaitan: Jemaah luar tunai umrah 9 Ogos ini
Berita berkaitan : Kos mengerjakan umrah cecah RM9,000
Sementara itu, Rosli Talib daripada PDC Travel Sdn. Bhd. pula memberitahu, pihaknya turut menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai, namun terdapat beberapa persoalan yang tidak dapat dijawab termasuk kos.
“Soalan yang paling kerap ditanya adalah bila mereka dibenarkan menjalani umrah dan kos terkini untuk melaksanakan ibadah tersebut.
“Memang benar kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah dari luar menunaikan umrah tetapi SOP terbaharu, kos dan kebenaran daripada kerajaan Malaysia berhubung pembukaan sempadan masih belum diketahui,” katanya.
Justeru, beliau berharap kerajaan dapat mengumumkan perkara itu lebih awal agar agensi pelancongan yang menyediakan khidmat umrah dapat memberi maklumat yang tepat kepada pelanggan masing-masing.
Kosmo! pada Selasa lalu melaporkan jemaah dari luar negara dibenarkan menunaikan umrah bermula 9 Ogos ini dan tempahan serta pembayaran boleh dibuat melalui 30 laman web dan platform elektronik yang disediakan untuk tempahan global.
Permohonan visa pula hanya boleh dilakukan oleh mereka yang sudah menerima vaksin lengkap.
Semua negara dibenarkan menghantar penerbangan terus kecuali India, Pakistan, Argentina, Brazil, Afrika Selatan, Indonesia, Turki, Lebanon dan Mesir yang mana mereka perlu menjalani kuarantin selama dua minggu di negara ketiga sebelum tiba di Arab Saudi.
Selain itu, kos mengerjakan ibadah tersebut juga dijangka meningkat berikutan wujudnya beberapa caj baharu memandangkan umrah dilaksanakan pada musim pandemik.















