fbpx
NUR ADREENA (kanan) mengabadikan kenangan dengan bekas Ketua Pengakap Negara, Allahyarham Tan Sri Shafie Salleh sewaktu sesi penganugerahan Pengakap Raja pada 2018.

Bertubuh kecil tak bermakna mudah dibuli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERIBAHASA kecil-kecil cili padi yang membawa maksud, meskipun kecil, tetapi berani tepat menggambarkan personaliti sebenar pelajar semester keempat jurusan Diploma Pengajian Perniagaan, Universiti Teknologi Mara cawangan Sabah ini.

Mana tidaknya, biarpun bertubuh kecil, namun pemilik nama Nur Adreena Che Mohd. Shukree, 20, ini merupakan seorang gadis yang sangat lasak dan berani selepas mendapat Anugerah Pengakap Raja pada tahun 2018.

Dia menerima anugerah itu bersama sembilan pelajar lain pada tahun 2018 sebaik berjaya melepasi pelbagai ujian dan cabaran yang diberikan.

Anugerah tersebut merupakan penganugerahan tertinggi bagi Persekutuan Pengakap Malaysia yang mana sijil tersebut ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong serta semua sultan dan raja di Malaysia.

Menariknya, anugerah ini mempunyai taraf yang sama dengan Eagle Scout di Amerika Syarikat dan Filipina; Queen’s Scout di United Kingdom, Australia dan New Zealand serta Crown Scout di Belgium dan Belanda.

“Ia sukar diperoleh kerana perlu melalui pelbagai lapisan sebelum lulus.

“Begitupun, istimewanya anugerah ini adalah sijilnya ditandatangani oleh sultan dan raja Melayu serta dapat memudahkan pelajar menyambung pengajian di universiti dalam dan luar negara,” katanya.


NUR ADREENA berjaya menyelesaikan kesemua cabaran yang ditetapkan bagi memperoleh Anugerah Pengakap Raja.

Bercerita kepada iGen, menurut Nur Adreena, dia mula menyertai badan beruniform itu selepas terinspirasi dengan kakaknya yang aktif dalam Pengakap Kelana Seremban Timur (A), Negeri Sembilan serta arwah datuk yang merupakan seorang pemimpin pengakap.

“Saya mula terlibat dengan pengakap sejak di tingkatan dua. Daripada situ, saya sering menyertai perkhemahan di peringkat negeri.

“Sekitar penghujung tingkatan tiga pada tahun 2013, guru pengakap di sekolah memberi idea supaya saya menyertai Pengakap Raja kerana melihatkan minat mendalam dalam aktiviti lasak,” katanya.

Ternyata, gadis ini bertuah kerana dikelilingi insan-insan yang begitu menyokong minatnya itu. Setiap aktiviti yang disertai Nur Adreena sebelum membolehkannya mendapat lencana-lencana diperlukan bagi melayakkannya menerima anugerah paling berprestij itu mendapat sokongan penuh daripada keluarga, guru dan sahabat handai.

Disebabkan itu juga, biarpun perlu mengharungi pelbagai aktiviti mencabar, namun gadis ini berjaya melakukannya dengan baik.

“Antara tugasan yang perlu dilakukan adalah mendapatkan lima lencana tertinggi dan menyertai dua
perkhemahan sebelum mengakhirinya dengan perkhemahan Pengakap Raja.

“Sepanjang ketiga-tiga perkhemahan itu, semua perkara diambil kira daripada tingkah laku hingga kepada kemahiran semasa melakukan ujian.

“Disitulah yang menentukan sama ada saya layak menerima anugerah berprestij itu atau tidak,” tuturnya.

Mengakui dirinya merupakan seorang gadis pemalu dan pendiam apabila berhadapan dengan individu tidak dikenali, namun situasi tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang bagi meraih anugerah berkenaan.

Lebih membanggakan, bermula daripada seorang gadis pemalu, Adreena berjaya keluar daripada sisi tersebut dan semakin berani selepas menyertai pasukan pengakap.

Lantaran itu, sebaik melanjutkan pengajian di menara gading, gadis ini mengambil peluang untuk menyertai lebih banyak aktiviti yang ditawarkan pihak universiti bagi mengutip pengalaman ketika usia muda.

NUR ADREENA (kanan) bergambar kenangan dengan rakan-rakan pengakap berlainan negeri sewaktu menghadiri cabaran perkhemahan
Pengakap Raja beberapa tahun lalu.

“Kokurikulum di universiti lebih menarik dan banyak pilihan. Saya menyertai Kesatria dan Kembara yang mana ia hampir sama seperti pengakap.

“Paling teruja apabila ia turut mempunyai aktiviti perkhemahan di dalam hutan.

“Begitupun, disebabkan ketika di tahun pertama universiti, negara berhadapan dengan pandemik, saya tidak dapat merasai pengalaman aktiviti kokurikulum sepenuhnya,” tambahnya lagi.

Menurutnya, dia berharap sebaik negara kembali pulih seperti sedia kala, dia mahu memanfaatkan masa yang ada dengan melakukan lebih banyak aktiviti luar dan lasak yang belum sempat dirasainya sebelum ini

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN