WALAUPUN terpaksa menjalani kehidupan tidak seperti orang normal kerana menghidap penyakit pulmonari hipertensi, ia langsung tidak mematahkan semangat Siti Nor Farizan Ab. Aziz, 40, untuk terus positif dalam hidup.
Menurutnya, dia didiagnosis dengan penyakit ini sejak berumur 18 tahun yang mana pada mulanya dia hanya mengalami batuk berdarah secara tiba-tiba.
“Ibu bapa saya kemudian membawa saya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan kemudian dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN).
“Ketika di IJN, saya didiagnosis menghidap penyakit jantung berlubang ASD dan pulmonari hipertensi,” jelasnya yang mesra disapa dengan panggilan Farizan.
Pulmonari hipertensi adalah penyakit tekanan darah tinggi di bahagian arteri paru-paru.
Masalah ini bermula apabila salur darah arteri dan kapilari paru-paru menjadi kecil, tersekat atau pecah.

Ini menjadikan darah sukar mengalir melalui paru-paru, lalu meningkatkan tekanan dalam arterinya.
Farizan menjelaskan, kehidupannya berubah selepas itu dan dia mula berasa cepat penat, tidak bermaya dan sering termengah-mengah ketika berjalan dan bercakap.
“Jantung saya sering berdegup laju dan ini membuatkan saya sentiasa berada dalam keadaan tidak selesa dan penat.
“Penyakit ini dikategorikan sebagai invisible illness. Fizikal saya nampak normal, tetapi dalaman saya tidak sihat,” terangnya.
Tambah Farizan, gaya hidupnya juga berubah kerana tidak dapat melakukan aktiviti sukan lasak dan kerja berat, sebaliknya hanya mampu melakukan senaman ringan.
Dalam pada itu, katanya, sewaktu bergelar mahasiswa di universiti, tenaga pengajar dan teman sekelas tidak faham tentang penyakit yang dihidapinya itu.
Ujarnya, ada dalam kalangan rakan-rakan tergamak menggelar dirinya bernafas seperti anjing kerana selalu termengah-mengah.
Paling menyedihkan jelasnya lagi, rakan sekelas juga tidak memilihnya untuk sama-sama berada dalam kumpulan tugasan.
“Situasi ini membuatkan saya menangis bersendirian apabila pulang dari kelas dan terasa seperti tidak mahu meneruskan pengajian.
“Namun, saya kuatkan semangat bagi membuktikan pesakit pulmonari hipertensi seperti saya juga mampu berjaya dalam pelajaran dan kerjaya satu hari nanti,” jelasnya yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengajian Undang-Undang.
Dia kini bekerja sebagai Pegawai Insolvensi di Jabatan Insolvensi sejak 2013.

Dalam pada itu, Farizan menjelaskan, sewaktu dia mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga, doktor menasihatkannya untuk tidak mengandung ekoran penyakit yang dihidapinya itu.
Sekiranya mengandung, doktor mengatakan dia berisiko tinggi membahayakan diri dan bayi dalam kandungan.
“Penyakit saya juga akan menjadi lebih kritikal sekiranya mengandung. Pada mulanya saya berasa sangat sedih kerana tidak berpeluang mendapat zuriat sepanjang hidup,” ujarnya.
Bagaimanapun, hatinya terubat selepas mendapat sokongan moral yang kuat daripada adik-beradik.
Katanya, adik-beradik sentiasa memberi peluang kepadanya untuk mendapat dan mencurahkan kasih sayang kepada anak-anak mereka.
Dengan erti kata lain, Farizan boleh menumpang kasih dengan anak-anak saudaranya.
Tambahnya, dia amat bersyukur kerana suami sudi menerima seadanya walaupun mengetahui Farizan tidak boleh mengurniakan zuriat sebagai tempat bermanja.
Sementara itu, Farizan amat terharu dengan pengorbanan ibu bapanya iaitu Ab. Aziz Latif dan Siti Maizum Simbok yang begitu sabar dan komited membesarkannya sebagai pesakit pulmonari hipertensi.
Ini katanya, untuk merawat penyakit itu memerlukan kos yang besar.
“Penyakit ini memerlukan kos yang agak tinggi kerana pesakit perlu mengisi oksigen setiap minggu dan membeli mesin home oxygen concentrator bagi tujuan terapi di rumah.
“Lagipun kos ubat-ubatan bagi penyakit ini juga sangat mahal iaitu sekitar ribuan ringgit sebulan,” jelasnya.
Bagi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penyakit itu, Farizan menyebarkannya melalui Persatuan Pulmonari Hipertensi Malaysia.
Dia yang merupakan ahli jawatankuasa persatuan itu menegaskan, mereka sentiasa menyalurkan maklumat terkini kepada orang awam tentang kewujudan dan simptom penyakit berkenaan.














