fbpx

Bukan masa sesuai untuk PRU – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – “Bukan masa sesuai untuk adakan pilihan raya umum (PRU)”. Itu saranan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Menurut beliau, keputusan untuk mengadakan PRU akan dibuat selepas berlakunya pembubaran parlimen dan ia perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh tersebut.

“SPR tidak masuk campur dalam pergolakan dan kemelut parti politik. SPR hanya terlibat apabila pembubaran parlimen berlaku dan tanggungjawab kita adalah untuk mengadakan PRU.

“Berkaitan dengan pembubaran parlimen, adalah hak dan kuasa Perdana Menteri untuk persembahkan nasihat kepada Agong supaya ia dibubar. Itupun adalah masih di bawah kuasa budi bicara Seri Paduka sama ada untuk menerimanya atau tidak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sementara itu, ketika ditanya kemelut yang melanda politik ketika ini dan kedudukan Perdana Menteri ketika ini, Wan Ahmad berkata, secara logiknya pemimpin nombor satu itu telah hilang sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat.

“Jadi jika PM membuat keputusan mengundur diri (kerana hilang sokongan majoriti), maka terserah kepada Seri Paduka selepas ini, kerana budi bicara melantik Perdana Menteri baharu ini masih di tangan baginda,” ujarnya.

Tambah Wan Ahmad, dalam keadaan sekarang, Agong boleh melantik sesiapa yang pada hemat baginda seorang Ahli Parlimen yang boleh mendapat sokongan majoriti dari Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Ia terserah kepada budi bicara Seri Paduka, tetapi mengikut keadaan semasa, kita sudah ada Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baru dilantik semalam (kelmarin)

“Secara logiknya, TPM yang akan mengambil alih tugas Perdana Menteri semasa ketiadaan beliau,” katanya.

Nasihat Wan Ahmad, seeloknya pilihan raya diadakan selepas Covid-19 ini reda dan negara juga mencapai imuniti kelompok, ketika itu baharulah boleh menyerah balik kuasa kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu melalui PRU.

Sementara itu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh ketika dihubungi Kosmo! enggan mengulas lanjut.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI