RIO DE JANEIRO – Penyerang Brazil, Neymar berharap pasukannya akan bertemu Argentina pada aksi final Copa America 2021 untuk memastikan mereka mampu memberikan aksi terbaik yang pernah dipamerkan sepanjang kejohanan tersebut.
Pagi semalam, Brazil berjaya menewaskan Peru 1-0 pada aksi separuh akhir dan gol kemenangan mereka berjaya dijaringkan oleh Lucas Paqueta untuk membawa mereka ke Stadium Maracana menjelang aksi final nanti.
“Saya pilih untuk bertemu Argentina kerana ia akan menjadi satu perlawanan menarik bertemu mereka. Saya mempunyai ramai rakan dalam pasukan itu tetapi Brazil akan memenangi aksi final nanti,” katanya.
Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada final Copa America 2007 di mana Brazil berjaya memenanginya dengan keputusan 3-0 pada aksi yang berlangsung di Venezuela.
Sekiranya impian Neymar itu menjadi kenyataan, perlawanan itu akan menjadi medan terbaik buat kedua-dua pasukan yang masih belum tewas sepanjang kempen kali ini selain ia akan menampilkan dua pemain terbaik dunia iaitu dirinya dan Lionel Messi.
Ketika ini, Neymar berjaya meledak dua gol dan tiga umpanan gol manakala Messi pula berjaya meledak empat gol dan empat umpanan gol.
Brazil memiliki kelebihan pada saingan kali ini untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada 2019 kerana ia berlangsung di tempat mereka sendiri.
Saingan kali ini sepatutnya berlangsung di Argentina dan Colombia yang terpilih menjadi tuan rumah, namun ia terpaksa dibatalkan apabila kedua-dua negara berkenaan diancam penularan wabak Covid-19. – AGENSI














