fbpx
MENURUT Uzaidi, industri pelancongan negara kini berada pada tahap sukar ekoran pandemik Covid-19 kerana kebanyakannya sudah gulung tikar dan tidak aktif.

Produk baharu pelancong gembira

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INDUSTRI pelancongan negara terjejas teruk ekoran pandemik Covid-19 lebih-lebih lagi semasa kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

Ada sebahagian agensi pelancongan yang gulung tikar dan sebahagian lagi hampir lumpuh.

Ikuti wawancara Kosmo! Ahad dengan Pengerusi Malaysia Tourism Council (MTC) yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis di pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur bagi membinb cangkan perkara inibaru-baru ini.

PANDEMIK Covid-19 yang melanda negara ini sejak awal tahun lalu menyebabkan industri pelancongan berada dalam keadaan suram dan kelam.

Dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan merentas sempadan negeri serta antarabangsa, ramai dalam kalangan pemain industri terkesan sehingga ada yang terpaksa ‘gulung tikar’. Begitupun, sekitar Jun tahun lalu, pelaksanaan PKP Bersyarat yang membolehkan pergerakan rentas negeri dan aktiviti pelancongan dilakukan menyebabkan industri yang sebelum ini suram ‘hidup’ semula.

Belum puas menghela nafas lega, mereka sekali lagi diuji selepas PKP 2.0 dan PKP 3.0 dikuatkuasakan semula ekoran peningkatan kes jangkitan Covid-19 sehingga ke hari ini.

Bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, KHAIRIYAH HANAFI menemu bual Pengerusi Malaysia Tourism Council (MTC) yang juga Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis di pejabatnya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia sejak tahun lalu turut menjejaskan sektor pelancongan negara. Bagaimana tuan melihat situasi industri pelancongan di negara ini sekarang?
UZAIDI: Sejak wabak Covid-19 menyerang ‘dunia’ pada tahun lalu, industri pelancongan negara turut terkena tempiasnya.

Sejak tahun lalu selepas pelaksanaan PKP 1.0 dibuat kerajaan bagi mengekang wabak Covid-19 daripada terus menular, kami amat terkesan sekali selepas sempadan negeri dan antarabangsa ditutup.

Situasi pandemik dan pelaksanaan PKP 3.0 sekarang menyukarkan lagi keadaan buat kami yang telah lama berkecimpung dalam industri ini.

Keadaan ini menyebabkan industri pelancongan negara hampir lumpuh 100 peratus memandangkan tiada hasil diperoleh ketika sempadan negeri dan antarabangsa ditutup.

Bukan sahaja negara tidak lagi menerima kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi ia turut menjejaskan ‘periuk nasi’ pekerja-pekerja dalam industri ini yang bilangannya bukan sedikit.

Berdasarkan tinjauan ke atas 3,000 ahli MITA, kira-kira 10 peratus operasi agensi pelancongan berlesen sudah ditutup dan 70 peratus lagi berada dalam keadaan tidak aktif.

Sebanyak 20 peratus lagi masih bertahan dan aktif dengan sekurang-kurangnya dua kakitangan.

Bagaimanapun, saya berharap agar pelaksanaan PKP secara menyeluruh ini dapat mengekang penyebaran pandemik ini kerana kami perlu meneruskan aktiviti pelancongan untuk menjana pendapatan.
Boleh tuan ulas kerugian yang dialami sektor pelancongan negara disebabkan pandemik?
Menurut kenyataan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri baru-baru ini, negara kerugian RM100 bilion tahun lalu dan angka sama juga dijangka direkodkan pada tahun ini.

Dengan larangan pergerakan merentas sempadan antara negeri dan antarabangsa ditutup, sudah pasti kerugian industri pelancongan akan berulang dalam tempoh yang tidak pasti, ditambah pula dengan pelaksanaan PKP terbaharu.

Kita perlu sedar, industri pelancongan penting untuk menjana ekonomi negara. Ini kerana, ia merupakan antara industri yang memberi impak besar dan penting dalam menstabilkan pertumbuhan ekonomi.

Untuk makluman, pelancongan dalam negara merupakan sumbangan ketiga terbesar terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar dan menurut Jabatan Statistik, ia menyediakan empat juta pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Negara sudah lama tidak menerima kunjungan pelancong luar memandangkan sempadan yang ditutup sejak tahun lalu. Apakah yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan industri pelancongan mampu diperkasakan semula sebaik pandemik reda?
Tahun ini banyak negara melakukan persediaan bagi membaik pulih industri pelancongan mereka bagi menarik semula pelancong ke negara masing-masing.
Kita perlu membuat perancangan lebih awal dengan pelbagai bentuk promosi supaya apabila sempadan mula dibuka, negara sudah bersedia menerima kehadiran pelancong.

Ini kerana, pelancong asing tidak sama seperti pelancong domestik yang mana mereka boleh berkunjung pada bila-bila masa sahaja.

Kebanyakan mereka (pelancong luar) merancang selama setahun untuk melawat sesebuah negara.

Kita perlu mencontohi negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam, Singapura dan Indonesia yang bersedia dengan pelbagai promosi untuk menerima kunjungan pelancong luar.

Kita perlu lakukan resolusi bagi menghasilkan produk-produk baharu.

Saya khuatir Malaysia akan ketinggalan dalam menarik pelancong asing memandangkan negara-negara lain kini sudah bersedia untuk membuka pintu bagi menerima kedatangan mereka.

Kita juga perlu melihat semula produk-produk kita dan memikirkan apa yang perlu dibuat.

Dalam hal ini, perlu memperbaharui produk pelancongan sedia ada kerana kebanyakannya sudah boleh dianggap ‘basi’.

Jangan hanya mempromosikan Kuala Lumpur atau Batu Caves sahaja kerana produk pelancongan ini memang telah sedia dikenali. Mengambil contoh negara jiran Indonesia, setiap tahun ada sahaja produk pelancongan baharu untuk menarik kedatangan orang luar.

Industri ini sangat kompetitif dan kita perlu bersedia menghadapi persaingan sengit dengan negara-negara lain di rantau ini kerana pelancong hari ini begitu memilih.

Mereka mahukan tempat yang bagus, selamat, harga yang kompetitif dan dekat dengan semua kemudahan.

Kesemua aspek itu perlu dilihat dan dipertimbangkan kerana saya khuatir jika tiba waktunya nanti, kita belum bersedia.

Menyentuh mengenai pelancongan dalam negara pula, sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri membenarkan sektor pelancongan beroperasi menggunakan kenderaan pelancong. Adakah ia masih relevan untuk dipraktikkan semula selepas ini?
Pandemik Covid-19 menyebabkan kerajaan terpaksa melaksanakan pelbagai undang-undang dan masyarakat pula hidup dalam norma baharu. Jika dilihat daripada sudut kerajaan, mereka terpaksa menjaga semua aspek termasuk kebajikan rakyat dan usahawan.

Saya faham, pihak kerajaan perlu menimbang bagaimana mahu menyeimbangkan pandemik dengan kelembapan ekonomi. Ini kerana, jika pandemik berterusan dan ekonomi jatuh, keadaan pasti akan menjadi lebih sukar.

Disebabkan itu jugalah, sebelum ini kerajaan membuat pendekatan sedemikian iaitu mana-mana individu yang ingin melancong dibenarkan, tetapi perlu mematuhi tiga syarat seperti pergi bersama ejen pelancongan yang berdaftar di bawah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, menggunakan kenderaan pelancongan dan pengunjung dari negeri yang dilaksanakan PKP Pemulihan tidak dibenarkan melawat negeri yang dikenakan PKP.

Jika dilihat secara makro, ia memang sukar memandangkan masyarakat sudah tentu terbiasa pergi menaiki kenderaan sendiri. Tambahan pula menaiki kenderaan sendiri lebih mudah dan bebas untuk bergerak.

PASTINYA ramai yang akan merindui percutian indah seperti ini sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia dan negara ini.– GAMBAR HIASAN

Begitupun dengan menggunakan kaedah ini, ia membantu pihak berkuasa mengawal pergerakan mereka kerana semuanya direkodkan dan mempunyai data.

Ketika masyarakat dibenarkan untuk merentas negeri pertama kali selepas PKP 1.0 ditamatkan, jalan raya mula sesak dek keterujaan individu untuk melancong. Bagaimana tuan melihat isu ini?
Sekarang ketika dalam pelaksanaan PKP pun trafik sesak, apatah lagi jika keadaan sudah kembali normal seperti biasa dan pastinya jalan akan kembali seperti sebelum pandemik.

Bukan sahaja jalan raya dan hotel-hotel, kedai-kedai makan juga pastinya penuh.
Situasi ini dikenali sebagai revenge tourism kerana setelah sekian lama tidak dapat keluar bercuti, mereka mengambil kesempatan untuk ke sana sini.

Satu-satunya cara bagi mengatasi masalah ini adalah dengan pengambilan vaksin seperti dipraktikkan negara luar. Mereka dilihat lebih terkedepan dalam hal ini dan kebanyakan rakyat sudah divaksin apabila ada negara yang menswastakan suntikan itu.

Pendekatan tersebut lebih mudah dan selamat apabila ramai yang dilindungi menerusi vaksin.

Sebagai individu yang berpengalaman dalam industri pelancongan, bagaimana tuan melihat masa depan industri ini berdasarkan situasi pandemik semasa?
Sukar untuk meramalkan situasi ini kerana kita berkemungkinan hidup dengan pandemik ini sama seperti hidup dengan wabak denggi yang sehingga ke hari ini tiada penyelesaian. Begitupun, kita perlu hidup dengan cara baharu iaitu sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan, selain mengambil vaksin.

 

JELAS Uzaidi, promosi produk pelancongan baharu penting bagi menarik lebih ramai pelancong apabila negara pulih sepenuhnya daripada Covid-19 nanti.

Situasi ini bagaimanapun tidak bermaksud kita perlu menghentikan perniagaan, sebaliknya perlu mengamalkan best practice.

Mengambil contoh di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu, mereka mula membuka sempadan dan menganjurkan ekspo dunia dan menggunakan kaedah tertentu untuk menyelamatkan industri pelancongan dan ekonomi.

Baru-baru ini, kerajaan memaklumkan, jika sempadan mula dibuka nanti, Malaysia mungkin akan benarkan pelancong dari China, Jepun dan Australia untuk masuk.

Kerajaan perlu mengamalkan peraturan lebih fleksibel bagi melindungi pengguna dan usahawan, terutamanya apabila melibatkan pandemik seperti sekarang.

Dengan adanya sokongan daripada kerajaan, industri pelancongan pasti kembali pulih seperti sedia kala.

Sebelum berundur, mungkin tuan boleh nyatakan harapan terhadap industri pelancongan negara?
Harapan saya agar pemain dalam industri ini tidak berputus asa kerana industri pelancongan sangat berpotensi besar dan banyak memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara selama ini.

Begitupun, saya berharap agar satu peraturan segera yang memudahkan para pemain industri dalam menjalankan perniagaan diwujudkan.

Ini memandangkan kebanyakan peraturan yang ada pada hari ini sudah tidak lagi relevan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN