PHNOM PENH, KEMBOJA – Seekor tikus pengesan periuk api di Kemboja menamatkan perkhidmatannya selepas lima tahun berbakti kepada masyarakat tempatan, lapor portal Sky News semalam.
Tikus gergasi yang diberi nama Magawa itu telah ‘membersihkan’ lebih daripada 225,000 meter persegi tanah dengan mengesan sebanyak 71 periuk api dan 38 bahan api tidak meletup di negara itu sepanjang kariernya.
Keluasan tersebut menyamai kira-kira 31 buah padang bola sepak.
Tikus Afrika yang mendapat julukan ‘tikus hero’ itu merupakan tikus paling berjaya yang dilatih oleh Apopo, sebuah pertubuhan kebajikan berasal dari Belgium.
Organisasi tersebut melatih tikus untuk menyelamatkan nyawa manusia dengan memberi isyarat terhadap lokasi-lokasi sebenar periuk api serta bahan api tidak meletup agar dapat dihapuskan oleh petugas manusia.
“Walaupun Magawa masih sihat, ia telah mencapai usia persaraan dan ketangkasannya semakin terbatas. Kini telah tiba masa untuk haiwan ini bersara,” ujar Apopo.
Sementara itu, pelatih Magawa, Malen berkata, prestasi kerja tikus gergasi itu sememangnya tidak dapat ditandingi.
“Ia mungkin kecil, namun telah menyelamatkan banyak nyawa serta membuatkan manusia boleh hidup dengan selamat dengan kos yang efektif.
“Bagaimanapun, ia kini semakin letih dan kita perlu menghormati kehendaknya. Saya akan merindui untuk bekerja dengannya,” ujarnya.
Meskipun telah menamatkan kariernya, khidmat tikus-tikus seperti Magawa masih diperlukan. Justeru, Apopo telah melatih 20 ekor ‘rekrut’ baharu untuk menggantikan tempatnya.
Kesemua tikus tersebut telah lulus ujian kemasukan dengan cemerlang.
Pada tahun lepas, Magawa telah dianugerahkan dengan Pingat Emas Dispensari Rakyat untuk Haiwan Sakit (PDSA) dari rakyat dan anggota tentera Britain atas tindakan adiwiranya. – AGENSI














