ARIS – Pemain pilihan ke-21, Elena Rybakina bersedia untuk mengejutkan juara Grand Slam 23 kali, Serena Williams menjelang aksi pusingan keempat Terbuka Perancis yang dijadualkan berlangsung hari ini.
Terdahulu, Rybakina yang juga atlet kelahiran Kazakhstan tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke pusingan keempat selepas menewaskan wakil Rusia, Elena Vesnina dengan kemenangan straight-set 6-1, 6-4 awal pagi semalam.
Kata Rybakina, pertemuan menentang Serena di peringkat kompetitif seperti kejohanan Grand Slam sudah menjadi impiannya sejak kecil kerana itulah masa yang paling sesuai untuk menentang pemain yang dianggap legenda tenis antarabangsa.
“Saya percaya apa sahaja boleh berlaku ketika bertemu dengan Serena nanti kerana apa yang penting saya tidak terlalu menghormatinya di atas gelanggang. Namun, saya akui ia adalah penghargaan apabila dapat bertanding di atas gelanggang yang sama dengannya.
“Ini kerana Serena adalah legenda tenis dunia dan saya sentiasa menonton aksinya di atas gelanggang sejak kecil. Ini adalah peluang untuk saya buktikan kesediaan untuk meraih kemenangan ke atas atlet yang menduduki ranking lebih baik,” kata pemain berusia 22 tahun itu.
Sementara itu, Serena yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh kejohanan berjaya menempah tiket ke pusingan keempat Terbuka Perancis selepas menewaskan rakan senegara, Danielle Collins dengan kemenangan straight-set 6-3, 6-4.
“Saya akui agak ralat kerana bertemu dengan Collins di pusingan awal kerana dia adalah rakan saya di luar gelanggang. Namun, pujian harus diberikan kepadanya yang tidak memberikan laluan mudah buat saya untuk menang kali ini,” kata pemain berusia 40 tahun itu. – AGENSI