JOHOR BAHRU – Orang ramai khususnya penduduk di negeri ini digesa segera mendaftar vaksin bagi pusingan kedua tempahan pengambilan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca secara sukarela yang akan dibuka bermula 23 Mei ini.
Pengerusi Task Force Covid-19 MCA Johor, Michael Tay Chee Boon berkata, biarpun pusingan kedua ini diberi keutamaan kepada golongan warga emas berusia 60 tahun ke atas, orang ramai digalakkan mendaftar.
Menurutnya, dengan pengambilan vaksin dilihat mampu memberi keyakinan kepada rakyat untuk melakukan keperluan harian, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Apabila ramai yang berdaftar dan memperolehi vaksin, saya yakin kadar kebolehjangkitan juga akan berkurangan.
“Mereka boleh mendaftar pada pusingan kedua secara sukarela dengan melayari laman web https://www.vaksincovid.gov.my.
“Saya turut memohon kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin supaya segerakan pemberian 100,000 vaksin kepada rakyat Johor yang berada di kawasan zon merah”,katanya ketika ditemui di pejabtanya di Taman Pelangi di sini hari ini.
Menurut Michael Tay, jumlah kes harian Covid-19 yang meningkat amat membimbangkan masyarakat.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bertindak dengan menjadikan beberapa stadium dan pusat konvensyen sebagai Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19.
“Namun yang membimbangkan kini juga adalah, tenaga jururawat yang pakar dalam mengendalikan kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah terhad.
“Semakin ramai orang yang dijangkiti Covid-19 mendapatkan rawatan di ICU. Ia akan menyebabkan tenaga jururawat di ICU berkurangan, biarpun banyak tempat dijadikan pusat rawatan.
“Jadi saya mencadangkan agar, pihak badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan pakar dalam melatih jururawat agar melatih jururawat ini supaya lebih ramai jururawat dapat mengendalikan kes Covid-19 di ICU. Dengan kerjasama ini, saya pasti dapat mengurangkan beban kerajaan”,katanya. – K! ONLINE