fbpx

Pejabat kerajaan beroperasi penuh sepanjang PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki

PUTRAJAYA – Pejabat kerajaan di seluruh negara beroperasi penuh sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok hingga 7 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Mohd Zuki berkata, operasi itu penting bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tidak terjejas sepanjang tempoh berkenaan.

Beliau berkata, ketua jabatan hendaklah memastikan pejabat kerajaan kekal beroperasi sepenuhnya berdasarkan garis panduan ditetapkan seperti Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam JPA.100-1/4/2 (15) bertarikh 12 Januari 2021.

“Ketua jabatan hendaklah menggunakan hemat dan kebijaksanaan dalam merancang keperluan sumber manusia demi memastikan kehadiran kakitangan ke pejabat dapat diminimumkan melalui sistem penggiliran.

“Ketua jabatan juga hendaklah mengeluarkan Arahan Dalaman dengan memperincikan keutamaan mengikut sektor jabatan masing masing,” katanya.

Katanya, bagi pegawai yang tidak perlu hadir bertugas di pejabat, pegawai berkenaan adalah diarahkan untuk Bekerja Dari Rumah (BDR) mengikut peraturan dan garis panduan yang telah diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020: Dasar Bekerja Dari Rumah.

Mohd Zuki berkata, perkhidmatan awam negara akan terus menjadi tunjang utama dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan kekal beroperasi berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi membendung penularan gelombang ketiga pandemik Covid-19. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI