AMINAH, 30, mendengus perlahan memikirkan masalah kejiranan yang dihadapinya sejak berpindah ke rumah baharu.
Bagi sesetengah orang, masalah tersebut dikatakan terlalu remeh untuk difikirkan. Tetapi bagi wanita kelahiran Ipoh, Perak ini, situasi itu sudah cukup membuatkan kehidupan hariannya tertekan.
Walaupun ramai yang mengatakan Aminah bernasib baik kerana memiliki jiran yang mengambil berat, namun ibu kepada empat orang cahaya mata ini mendakwa rimas kerana merasakan privasinya seolah-olah dicabul.
Sehingga ke satu tahap, dia sanggup hidup bergelap dan membatukan diri apabila jirannya memberikan salam.
“Sebenarnya saya baru setahun mendiami rumah tersebut. Rumah itu merupakan sebuah apartmen lama yang dibeli selepas lapan tahun hidup menyewa di kediaman lain.
“Saya terpikat dengan kawasan ini kerana kejiranannya yang begitu mesra dan majmuk. Masjid kecil juga didirikan berhadapan apartmen ini memudahkan kami sekeluarga untuk menunaikan solat tarawih pada bulan Ramadan.
“Berbeza dengan kawasan perumahan yang disewa sebelum ini, semuanya sibuk bekerja dan tiada masa untuk bertegur sapa. Jika ada sekalipun hanyalah ketika bertembung di hadapan lif. Itu pun sekadar tersenyum dan mengangguk kepala tanpa mengenali nama,” tambahnya.
Mahukan suasana baharu, keadaan tersebut menyebabkan dia begitu teruja dan tidak sabar untuk berpindah selepas suaminya membeli sebuah unit apartmen.
Bagaimanapun, disangkakan hujan sampai ke petang, rupanya panas di tengah hari. Keterujaan tersebut bertukar menjadi sebaliknya apabila Aminah merasakan jiran tetangganya seakan tidak menghormati dan suka mencampuri urusan keluarganya.
“Pemilik di apartmen ini majoritinya sudah berkeluarga dan sedikit berusia. Sama seperti di kampung, semangat kejiranan mereka begitu kuat.
“Beberapa bulan pertama saya merasakan alangkah manisnya hidup berjiran. Mereka bukan sahaja peramah dan mengambil berat, tetapi juga pemurah apabila sering menghantar masakan yang dimasak.
“Pada mulanya saya begitu seronok kerana terasa seperti sebuah keluarga besar. Berbalas-balas makanan dan mengambil berat membuatkan kerinduan di kampung sedikit terubat.

“Tetapi apabila macam segala hal di dalam rumah mereka ingin ambil tahu termasuk perkara kecil seperti pendidikan anak-anak dan perhiasan rumah pun mereka mahu menyibuk, saya mula merasa rimas.
“Mereka bahkan memperlekehkan barangan di dalam rumah dan mempersoalkan taraf kedai barangan yang dibeli seperti ingin membanding-bandingkan dengan orang lain. Mereka bertanya kenapa tidak beli di kedai itu, kenapa beli di kedai ini?” ceritanya.
Tambah Aminah lagi, jiran-jirannya juga sering bertandang ke rumah biarpun ketika itu wanita yang bekerja sebagai kerani ini baru sahaja pulang dari tempat kerja.
Menyedari dirinya kini tiada privasi dan agak tertekan, Aminah mula meluahkan apa yang terbuku di hatinya kepada suami. Bagaimanapun suaminya hanya menyuruhnya bersabar dan mengatakan itu hanyalah salah satu resam hidup berjiran.
“Suami kata, saya terlalu sensitif dan perlu banyak belajar bertolak ansur dalam hidup berjiran. Mungkin juga benar apa yang diperkatakannya.
“Tetapi jauh di sudut hati, saya begitu merindui kehidupan yang lalu apabila tiada orang luar yang sesuka hati masuk campur dalam keluarga kami,” ulasnya.
Aminah juga pernah mendapatkan nasihat daripada pakar kaunseling kerana merasakan dirinya aneh dan mungkin mengalami masalah kesihatan mental. Selepas beberapa sesi, pakar mengatakan dirinya sihat dan tiada apa-apa masalah.
Bagaimanapun, perasaan tersebut mungkin disebabkan oleh tekanan sekeliling dan keterbiasaan hidup berseorangan.
“Bukan tidak mahu, tetapi ada sahaja yang tidak kena. Saya bahkan pernah memarahi suami kerana bermesra dengan jiran di sebelah rumah. Apabila suami tiada di rumah kerana bekerja syif, saya akan menggelapkan lampu di bahagian ruang tamu dan dapur supaya mereka menyangka kami sedang tidur atau tiada di rumah.
“Jika berselisih di lif atau di kedai pula, saya akan buat-buat seperti tidak nampak dengan harapan mereka sedar saya mahu menjauhkan diri. Hanya itu yang boleh dilakukan supaya mereka menghormati privasi saya.
“Mahu pindah ke rumah lain, sayang pula kerana ini merupakan rumah kami sendiri dan baru sahaja dibeli,” ujarnya menutup bicara.














