POLIS Wilayah 8 Thailand merampas 750 kg syabu bernilai RM36.35 juta dipercayai akan diseludup ke Malaysia dalam operasi di Wilayah Nakhon Si Tammarat, kelmarin. - IHSAN POLIS

Treler bawa syabu RM36.35 juta ke Malaysia ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HAT YAI – Sebanyak 750 kilogram (kg) syabu bernilai 300 juta baht (RM36.35 juta) dpercayai cuba diseludup ke Malaysia dirampas selepas pihak berkuasa memintas sebuah treler di Wilayah Nakhon Si Thammarat, di sini kelmarin.

Sindiket dadah terbabit juga dipercayai menjadikan Daerah Hat Yai di Songkhla sebagai bandar transit sebelum bahan terlarang tersebut dibawa masuk ke Malaysia.

Komander Polis Wilayah Nakhon Si Thammarat, Mejar Jeneral Sukasem Nakornwilai berkata, dua suspek berusia 31 dan 40 tahun yang ditahan mengaku mengangkut syabu dari Wilayah Chiang Rai ke Daerah Hat Yai sebelum diseludup ke negara jiran.

Katanya, pihak berkuasa menerima maklumat sebuah treler dipercayai akan digunakan untuk mengangkut dadah tersebut dari wilayah utara Thailand ke selatan.

“Pasukan Polis Peronda Sempadan Divisyen 44 yang diarah melakukan siasatan mendapati treler terbabit bergerak dari Songkhla ke Daerah Chiang Saen, Chiang Rai untuk mengambil dadah pada 9 November lalu sebelum pulang pada 18 November.

“Pasukan operasi dengan kerjasama Polis Daerah Chulabhorn melakukan sekatan jalan raya sebelum menahan treler tersebut pada pukul 1.45 pagi semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau, pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan mendapati lantai treler itu diubah suai menjadi struktur dua tingkat dan digunakan untuk menyembunyikan syabu.

Setelah diperiksa, terdapat 750 kg syabu disembunyikan di bawah panel lantai.
Sukasem mendedahkan semua syabu itu diisi dalam bungkusan teh tradisional Cina terkenal yang turut dijual secara meluas di Malaysia.

Siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah anggota sindiket dadah transnasional, yang menyeludup syabu dari pantai di Daerah Chiang Saen, Chiang Rai ke wilayah selatan dengan Malaysia sebagai destinasi terakhir.

Katanya, kedua-dua suspek mengaku telah mengangkut dadah beberapa kali sebelum ini dengan bayaran sejuta baht (RM121,000) setiap perjalanan.

Menurutnya, pihak berkuasa juga sedang mempercepatkan siasatan bagi mengesan transaksi kewangan mereka dan rangkaian terbabit untuk pendakwaan mengikut undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN