PETALING JAYA- Seramai 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia dijangka ditempatkan di Türkiye melalui satu program latihan kemahiran berstruktur.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia susulan persetujuan jemaah menteri terhadap cadangan dikemukakan beliau hasil lawatan kerja rasmi ke Türkiye baru-baru ini.
Kata Ahmad Zahid, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA), beliau mengemukakan pendekatan itu sebagai sebahagian usaha strategik kerajaan menangani isu keberadaan pelarian Rohingya di Malaysia secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.
“Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya merupakan satu perkembangan positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara.
“Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional
(TVET) selama tiga hingga enam bulan.
“Ia dengan (memfokuskan) bidang kemahiran yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Türkiye,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Ahmad Zahid berkata, melalui pendekatan itu, pelarian Rohingya terlibat akan dibekalkan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka.
Katanya, ia juga membuka peluang kepada kumpulan itu untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif
kepada ekonomi negara penerima, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Türkiye.
“Inisiatif ini juga selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui pendekatan penempatan semula di negara ketiga yang mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah dan
masa depan golongan pelarian.
“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, kumpulan itu bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu,
kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin.
“Dalam masa yang sama, keputusan ini membuktikan kesungguhan kerajaan mencari penyelesaian konkrit terhadap isu pelarian
Rohingya.
“Pendekatan kerjasama strategik dengan negara ketiga seperti Türkiye mampu menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih
sistematik, mampan dan bermaruah,” katanya.
Jelas beliau, kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif ini bersama pihak berkuasa Türkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara
teratur.
“Usaha ini mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Türkiye dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














