MOSCOW – Sebuah pesawat pengangkut tentera dilaporkan terhempas di wilayah Kemerovo, Siberia semalam dan mengorbankan kesemua 19 orang yang berada di dalamnya.
Menurut laporan media Rusia yang memetik kenyataan Kementerian Pertahanan negara itu, pesawat jenis Antonov An-12 tersebut sedang dalam penerbangan berjadual sebelum terhempas di kawasan yang tidak berpenghuni.
“Terdapat seramai 19 individu di dalam pesawat berkenaan termasuk anak kapal dan kesemua mereka disahkan terkorban,” jelas kenyataan itu seperti yang dipetik agensi berita kerajaan, TASS.
Laporan sama turut menyebut bahawa siasatan awal mendapati nahas berkenaan berkemungkinan berpunca daripada masalah teknikal.
Sementara itu, agensi berita RIA Novosti melaporkan satu suruhanjaya khas daripada Pasukan Aeroangkasa Rusia telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung punca sebenar insiden.
Terdahulu, Gabenor wilayah Kemerovo, Ilya Seredyuk menerusi hantaran di aplikasi Telegram memaklumkan berlakunya satu ‘insiden penerbangan’ berhampiran perkampungan Yagunovo dan mengesahkan sebuah pesawat yang sedang melalui ruang udara wilayah itu dipercayai terhempas.
Beliau turut memuat naik rakaman video dari lokasi nahas yang memaparkan kehadiran beberapa jentera bomba serta ambulans di kawasan berkenaan. – AFP














