PAPAR – Ahli-Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendesak siasatan Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1 merangkumi punca serta implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, langkah itu bagi memastikan siasatan susulan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2026 berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh serta telus.
Menurut beliau, ketidakjelasan implikasi penamatan model PDP pada 22 September 2019 ekoran pertukaran pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan telah mencetuskan polemik berpanjangan.
“Jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022 dan 19 Oktober lalu secara jelas menyebut antara faktor utama kelewatan projek Fasa 1B berpunca daripada penamatan PDP,” katanya pada sidang akhbar sempena Program IP Spark 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pengalat di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, peralihan kepada kaedah konvensional membantutkan kerja di lapangan lebih setahun bermula Mei 2018, selain mengganggu pelantikan kontraktor sehingga 2021 serta meningkatkan kos asal projek.
Sehubungan itu, GRS mahu PAC turut meneliti keputusan dasar terdahulu dan tidak hanya tertumpu kepada prestasi semasa pelaksanaan projek infrastruktur terbabit.
“Perkara ini penting bagi memastikan tiada perubahan dasar dibuat atas pertimbangan politik kepartian sehingga membelakangkan kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” ujarnya.- KOSMO! ONLINE
















