TNB Thunderstar berjaya menebus kegagalan musim lalu apabila mengesahkan kejuaraan MHL musim ini. - FB MHC

MHL: Misi TNB Thunderstar belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASUKAN TNB Thunderstar menepati sasaran merampas semula kejuaraan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2026 meskipun menutup kempen liga dengan kekalahan 1-2 kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) di Stadium Hoki TNB, UNITEN, kelmarin.

Ketua jurulatih TNB Thunderstar, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor berkata, kejayaan itu cukup manis buat pasukan selepas terlepas gelaran berkenaan musim lalu apabila sekadar muncul naib juara.

Menurutnya, pemain sudah lebih awal mengesahkan kejuaraan selepas membelasah Young Elephants Pahang 16-0, dua hari lalu.

“Alhamdulillah kita capai sasaran untuk menjadi juara liga dan sekarang ada satu lagi trofi menanti selepas ini iaitu Piala TNB.

“Saya harapkan para pemain teruskan momentum dan paling penting bebas daripada kecederaan sebab selepas ini mereka akan bermain di Piala Sultan Azlan Shah,” katanya.

Kekalahan kepada THT itu menyaksikan rekod tanpa kalah TNB Thunderstar dalam 11 perlawanan berturut-turut berakhir, namun tidak menjejaskan kedudukan mereka selaku juara liga musim ini.

Dalam aksi berkenaan, TNB Thunderstar terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit keempat, sebelum Muhammad Firhan Ashari menyamakan kedudukan buat THT seminit kemudian.

Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran memastikan kemenangan THT menerusi jaringan pada minit ke-44 sekali gus mengesahkan kedudukan pasukan itu sebagai naib juara MHL 2026.

Sementara itu, ketua jurulatih THT, Mohd Harfizi Baharom memuji mentaliti pemainnya yang tetap memburu kemenangan meskipun menyedari peluang untuk bergelar juara liga sudah tertutup.

“Kita tahu sudah tak boleh juara liga, tetapi kita tetap dengan mentaliti terbaik untuk cuba dapatkan tempat terbaik iaitu No.2 liga dan ia tercapai.Kemenangan ini penting untuk kami terus kekal di kedudukan kedua liga tanpa perlu menunggu mana-mana perlawanan yang terakhir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN