fbpx
SETELAH bertahun-tahun mengalah dan akur dengan kehendak Zima yang mahu pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman isterinya, Ambri akhirnya berang dan melafazkan taklik yang membawa kepada perceraian mereka. – Gambar hiasan

K2

Cerai disebabkan berebut nak balik kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAHTERA perkahwinan pasangan yang dianggap sebagai merpati dua sejoli Ambri dan Zima bermula dengan penuh kebahagiaan.

Selepas mendirikan rumah tangga atas dasar cinta itu, pasangan berkenaan memilih untuk menetap di Kuala Lumpur memandangkan masing-masing mempunyai pekerjaan tetap di ibu kota.

Sepanjang perkahwinan Ambri dan Zima, pasangan tersebut kelihatan sangat bahagia memandangkan masing-masing sering berkongsi momen indah bersama di laman sosial.
Hasil daripada perkahwinan tersebut, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata.

Ibarat pepatah, air yang tenang jangan disangka tiada buaya, begitulah juga situasi yang boleh digambarkan kepada situasi rumah tangga pasangan itu.

Mereka sering bertengkar setiap kali membincangkan perihal penggiliran untuk pulang ke kampung setiap kali Hari Raya Aidilfitri.

Hal ini memandangkan kampung mereka berdua terletak di arah yang berbeza dengan Ambri di sebelah utara iaitu Perlis, manakala Zima berasal dari Negeri Sembilan.

“Sejak kami berkahwin, masalah penggiliran balik kampung ini sering menghantui terutamanya ketika menjelang hari raya memandangkan arah kampung berbeza.

“Disebabkan itu, kami sering bertengkar dan bermasam muka. Masing-masing ingin pulang berhari raya di kampung sendiri,” ujar Ambri ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Menurut Ambri, Zima sering memaksa dia pulang beraya ke kampung halamannya di Seremban pada setiap tahun dengan memberi pelbagai alasan.

Jelasnya, alasan yang sering diberikan isterinya adalah faktor jarak yang dekat dari Kuala Lumpur selain kurang kesesakan lalu lintas.

“Saya sedar laluan untuk pulang ke utara sesak teruk ketika menjelang hari raya. Zima sering merungut dia tidak tahan duduk di dalam kereta selama tujuh hingga lapan jam sebelum tiba di Kangar.

“Jadi, dia selalu desak saya supaya pulang ke kampung halamannya untuk beraya. Kampung saya hanya pulang ketika Hari Raya Aidiladha kerana jalan raya kurang sesak,” tegasnya.

Sebagai anak tunggal, tindakan Zima itu telah mengecewakan kedua-dua ibu bapa Ambri kerana mereka terpaksa beraya tanpa insan tersayang di sisi.

 

 

KONDISI jalan raya yang sesak selama berjam-jam ke arah utara apabila menjelang Aidilfitri sering dijadikan alasan untuk Zima enggan pulang ke kampung suaminya. – gAMBAR HIASAN

Pada tahun pertama dan kedua perkahwinan, Ambri memilih untuk mengikut sahaja kehendak isterinya itu disebabkan dia enggan bergaduh disebabkan isu pulang beraya.

“Saya sangat sedih apabila mengenangkan nasib ibu dan bapa saya yang terpaksa beraya sendiri di kampung. Lagi pula, ibu dan bapa saya sudah tua,” ujarnya.

Memasuki tahun ketiga perkahwinan, Ambri sekali lagi memujuk Zima untuk pulang berhari raya ke Perlis dengan menaiki pesawat bagi memudahkan perjalanan mereka sekeluarga.

Bagaimanapun, Zima sekali lagi menolak dengan alasan bimbang anak mereka berusia satu tahun tidak selesa dan menangis apabila berada di dalam kapal terbang.

Disebabkan itu, Zima telah meminta Ambri untuk sekali lagi berhari raya di kampungnya dan pulang ke Perlis pada hari raya keempat iaitu selepas jalan kembali normal.

Penolakan Zima itu telah mengundang rasa marah Ambri. Dia menetapkan supaya mereka beraya di ibu kota sahaja pada tahun tersebut.

“Saya memilih untuk beraya di Kuala Lumpur sahaja. Biar adil, masing-masing tidak dapat pulang beraya di kampung.

“Bagaimanapun, cadangan saya itu dibantah Zima yang tetap mahu meneruskan niatnya untuk beraya bersama keluarga di Negeri Sembilan.

“Malah, isteri saya berhasrat untuk pulang bersendirian ke kampung bersama anak, sekiranya saya memilih untuk beraya di Kuala Lumpur,” jelasnya.

Dalam pertengkaran yang berlaku itu, Ambri telah melafazkan taklik. Dia mengungkapkan, “Kalau kau (Zima) keluar dari rumah ini, maka kita akan putus.”
Taklik ialah suami menggantungkan talak kepada isterinya dengan sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain yang berlaku pada masa hadapan.

Lafaz tersebut tidak diendahkan oleh Zima dan dia terus keluar dari rumah untuk menaiki kereta pulang ke kampung halamannya.

Disebabkan itu, talak telah terjatuh dan Ambri memanjangkan perkara berkenaan kepada pihak mahkamah syariah untuk mendapatkan pengesahan berkaitan lafaz taklik tersebut.

“Dalam perjumpaan di mahkamah syariah, hakim tidak menyalahkan sesiapa disebabkan perceraian itu. Sebaliknya, dia menasihati kami supaya sentiasa bertolak ansur dalam apa juga perkara apabila berkahwin lain suatu hari nanti.

“Hakim itu menyeru supaya saya tidak mudah melafazkan taklik. Dia juga menegur sikap Zima yang terlalu mementingkan diri sendiri tanpa memikir perasaan orang lain di sekeliling,” katanya yang menceritakan mengenai kes perceraian itu yang berlaku pada empat tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN