PETALING JAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mempertimbangkan penggunaan pistol perenjat elektrik atau taser gun sebagai senjata tambahan bagi melindungi keselamatan anggota, khususnya ketika berdepan situasi berbahaya di kawasan berisiko tinggi.
Gesaan itu rentetan insiden seorang anggota polis, Lans Koperal Thierry Rodger Pendy yang putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak lelaki berkulit hitam dengan parang dalam kejadian serangan di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri dekat Gombak, kelmarin.
Penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, taser gun boleh menjadi senjata alternatif untuk melumpuhkan individu agresif dalam situasi tertentu sekali gus mengurangkan risiko kehilangan nyawa.
Menurutnya, tindakan agresif penjenayah terhadap anggota penguat kuasa ketika menjalankan tugas tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengancam keselamatan serta nyawa petugas.
“Ini adalah sebahagian daripada alat untuk mempertahankan diri sebab kita juga tidak mahu kehilangan nyawa, begitu juga orang awam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Taser gun merupakan sejenis senjata kawalan yang direka untuk melumpuhkan sementara sasaran menggunakan arus elektrik.
Mengulas lanjut Shahul berkata, prosedur operasi standard (SOP) penggunaan senjata sedia ada perlu diteliti semula dengan mengambil kira perubahan corak ancaman jenayah yang semakin ketara, termasuk ketika operasi penguatkuasaan di lapangan.
Katanya, anggota polis dan agensi penguat kuasa lain perlu mempunyai keupayaan untuk bertindak mempertahankan diri apabila keselamatan mereka terancam, bukannya menjadi mangsa ketika menjalankan amanah.
“Kalau warga asing atau siapa-siapa juga yang mula bertindak ganas kepada anggota penguat kuasa, tak kisahlah tentera, polis, imigresen, kastam dan siapa-siapa jugalah, kita kena bersedia menggunakan apa yang ada pada kita untuk mempertahankan diri.
“Kalau tidak, mereka (anggota keselamatan) akan jadi mangsa. Mereka hanya menjalankan tugas dan tidak seharusnya menjadi mangsa (kepada penjenayah sehingga cedera atau hilang nyawa),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah kebimbangan anggota untuk menggunakan senjata api ketika berdepan situasi berbahaya kerana khuatir dikenakan tindakan selepas insiden berlaku.
“Kadang-kadang mereka berdepan bahaya tetapi takut nak ambil tindakan sebab apabila mereka tembak, mereka akan dikenakan tindakan.
“Jadi, bagaimana persepsi itu hendak diubah supaya anggota berani mengambil tindakan sedangkan mereka menjalankan tugas?” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, tindakan lebih tegas termasuk penggunaan senjata api perlu dipertimbangkan sekiranya ancaman yang dihadapi benar-benar membahayakan nyawa anggota dan memerlukan tindakan segera.
Mengulas mengenai pihak yang mempertahankan individu melakukan jenayah, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak bersekongkol atau membela pesalah sehingga membelakangkan keselamatan anggota penguat kuasa.
Kira-kira pukul 7 malam kelmarin, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki mengamuk di sebuah pangsapuri di Desa Aman Puri dekat Gombak sebelum sepasukan anggota termasuk dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) ke lokasi kejadian.
Bagaimanapun, apabila premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki meluru keluar dengan bersenjatakan dua bilah parang sebelum menyerang pihak polis bersama bomba dan KKM yang sedang berada di hadapan pintu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar dilaporkan berkata, serangan itu menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan sehingga menyebabkan pergelangan tangan kanan putus ketika cuba mempertahankan diri daripada serangan lelaki warga asing itu.
Jelasnya, suspek ditembak selepas sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang dengan lelaki warga asing itu disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Selayang.
Sementara itu, difahamkan, lelaki warga asing yang menetak pergelangan tangan kanan anggota polis itu dipercayai mengalami tekanan perasaan selepas ditinggalkan teman wanita yang menetap di blok bersebelahan sejak lebih sebulan lalu.
















