“Selama 17 tahun saya bertahan dalam perkahwinan yang penuh ‘toksik’ kerana tidak mahu anak-anak kehilangan susuk seorang bapa sepanjang mereka membesar.
“Makian dan sumpah seranah sudah menjadi ‘makanan harian’ yang saya perlu hadap, tetapi saya bertahan demi anak-anak. Akhirnya, setelah melihat anak sudah cukup dewasa, saya memutuskan untuk bercerai,” cerita Mimi (bukan nama sebenar) dalam nada sebak.
Wanita berasal dari Pahang itu memberitahu, sepanjang 17 tahun berkahwin, dia kehilangan kebebasan kerana setiap gerak geri dikawal oleh suaminya yang narsisistik, termasuk dalam perniagaan yang diusahakan bersama.
Narsisistik bermaksud sifat atau kecenderungan seseorang yang terlalu mengagumi, mencintai, atau mementingkan diri sendiri secara berlebihan.
“Kawan-kawan selalu tegur saya, mereka kata, sikap tegas dan ceria saya sudah hilang kerana terlalu mengikut telunjuk suami.
“Bukan saya tidak mahu melawan, tetapi saya sudah cuba memberi pandangan.
“Namun akhirnya, kami bergaduh besar dan kesalahan itu berbalik kepada saya, sedangkan puncanya adalah daripada suami.
“Lebih parah, suami sanggup naik tangan ke muka saya. Sebab itu, saya cuba bertahan kerana tidak mahu anak-anak melihat situasi tersebut dan membenci bapa mereka,” ujar ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Tambah Mimi, dia tidak mahu anak-anaknya membesar tanpa kasih sayang seorang bapa seperti dirinya sehingga menjadi mangsa buli sejak kecil kerana tiada ‘hero’ untuk berlindung.
Bercerita mengenai perkenalan dengan bekas suaminya itu, Mimi berkata, mereka bercinta ketika dia sedang belajar di salah sebuah universiti di Utara tanah air, manakala lelaki itu sudah bekerja.
“Saya memilih lelaki yang lebih berusia dari saya kerana dia matang dan banyak memberi bimbingan.
“Selepas tamat belajar, kami terpisah hampir dua tahun kerana dia bekerja di Utara, manakala saya memulakan kerja di Kuala lumpur.
“Disebabkan tidak sanggup berjauhan, kami akhirnya memutuskan untuk berkahwin, dan dia sudi mengikut saya bekerja di ibu negara,” ujar wanita berusia lewat 40-an itu.
Menurut Mimi, pada awal perkahwinan, dia tidak berasa dirinya dikongkong atau perasan suaminya memiliki sikap seorang narsisistik.
Katanya, mungkin ketika itu dia masih muda dan sangat memerlukan bimbingan daripada seorang lelaki bergelar suami.
“Saya cuba memaafkan suami setiap kali dia berlaku kasar atau menjatuhkan air muka saya di depan orang ramai.
“Suami saya juga pandai memujuk, sekali gus membuatkan saya mudah lembut hati dan memaafkannya.
“Tahun demi tahun, sikapnya tidak pernah berubah. Dia pandai memujuk dan memanipulatif setiap isu sehingga membuatkan saya tidak boleh keluar daripada perkahwinan ini,” tuturnya.
Lebih membuatkan Mimi terseksa, dia perlu ‘melayan’ kerenah narsisistik suaminya itu hampir setiap hari kerana mereka menjalankan perniagaan bersama-sama.
“Perniagaan itu awalnya diusahakan oleh saya secara separuh masa. Selepas melihat potensi besar dalam perusahaan itu, saya memutuskan untuk berhenti kerja dan menjalankan perniagaan sepenuh masa.
“Saya turut mengajak suami untuk membantu kerana tidak menang tangan menguruskan seorang diri. Akhirnya kami menjadi rakan kongsi.
“Walaupun saya sebagai pengasas, namun hampir semua keputusan dalam perniagaan dibuat oleh suami,” ujarnya.
Sehinggalah pada suatu hari, Mimi berasa sudah tidak tahan lagi hidup bersama suami narsisistik, sebelum akhirnya membuat keputusan untuk bercerai.
“Saya tidak menyesal bercerai dengan bekas suami kerana kini hidup saya lebih tenang dengan anak-anak. Saya juga boleh buat apa sahaja yang saya mahukan tanpa dikongkong oleh siapa-siapa.
“Saya juga boleh menikmati duit hasil titik peluh dengan pergi bercuti dan membeli barangan yang dimahukan,” katanya.















