GIBRAN RAKABUMING

Gibran Rakabuming serah surat letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAKARTA – Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka secara rasmi menyerahkan surat peletakan jawatan daripada jawatan kedua tertinggi negara itu, menurut ketua kumpulan sukarelawan yang menyokong kempen pemilihannya pada 2024.

Pengerusi Projo Budi Arie Setiadi mengesahkan perkembangan itu, sehari selepas Gibran menyatakan hasrat untuk berundur semasa pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto.

“Benar,” katanya ringkas ketika ditanya mengenai peletakan jawatan Gibran, seperti dilaporkan agensi berita Indonesia Antara pada Rabu.

Projo yang diasaskan untuk menyokong bekas Presiden Joko Widodo iaitu bapa kepada Gibran, turut menyokong gandingan Prabowo-Gibran dalam Pilihan Raya Presiden 2024.

Sementara itu, laporan media tempatan lain memetik Budi sebagai mengesahkan bahawa Gibran telah menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Prabowo Subianto semasa pertemuan di Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma di Jakarta pada Rabu.

Pada Selasa, Menteri Setiausaha Negara Prasetyo Hadi mendedahkan terdahulu pada hari itu Gibran telah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan semasa pertemuan selama dua jam setengah dengan  Prabowo.

Prasetyo berkata Gibran menyampaikan hasrat itu di tengah-tengah perkembangan perundangan yang sedang berlangsung di Mahkamah Perlembagaan dan Mahkamah Agung Indonesia berhubung dokumen kelayakan pendidikannya.- BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN