GOMBAK – Lelaki asing yang mengamuk sehingga mencederakan seorang lans koperal di Desa Aman Puri di sini petang tadi turut menyerang anggota bomba dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi kejadian.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, dalam kejadian pada pukul 7.30 hingga 8 malam itu, beberapa anggota bomba dan petugas KKM dilaporkan mengalami kecederaan.
“Setakat ini pihak polis masih menunggu laporan bagi mengesahkan keadaan mereka,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Hospital Selayang di sini malam ini.
Dalam kejadian itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun mengalami kecederaan putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki warga asing dengan menggunakan parang.
Suspek yang turut mengalami kecederaan akibat tembakan bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Suspek dikatakan bertindak agresif ketika cuba ditangkap berhampiran sebuah taman permainan.
Siasatan awal mendapati suspek merupakan warga asing, namun identiti sebenarnya masih belum dapat dipastikan. Setakat ini, hanya seorang suspek terlibat dalam kejadian tersebut.– KOSMO! ONLINE
















