Shazeli pada sidang akhbar di pekarangan Hospital Selayang, malam ini.

Pergelangan tangan anggota polis ditetak, usaha sambung semula sedang berjalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Anggota polis yang mengalami kecederaan parah sehingga putus pergelangan tangan kanan akibat ditetak seorang lelaki bersenjatakan parang di Desa Aman Puri, di sini, petang tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, anggota berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun itu kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menyelamatkan pergelangan tangannya.

Menurutnya, anggota yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang sebelum dipindahkan ke HKL pada malam sama.

“Untuk makluman, anggota tersebut berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, saya minta kita semua doakan supaya pergelangan tangannya dapat disambungkan semula kerana beliau kini sedang menjalani pembedahan dalam usaha menyelamatkan tangan tersebut,” katanya pada sidang akhbar, di pekarangan Hospital Selayang malam ini.

Mengulas mengenai kejadian, Shazeli berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai seorang lelaki dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk di sebuah kediaman di Desa Aman Puri.

Katanya, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memeriksa keadaan.

Bagaimanapun, kira-kira pukul 7 petang, suspek secara tiba-tiba meluru keluar dari rumah berkenaan sambil bersenjatakan dua bilah parang sebelum menyerang pasukan keselamatan yang berada di hadapan pintu.

“Ekoran serangan tersebut, dalam usaha mempertahankan diri, seorang anggota polis mengalami kecederaan sehingga terputus pergelangan tangan kanannya.

“Akibat kecederaan tersebut dan keadaan yang tidak stabil, anggota lain berundur untuk menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri ke kawasan bawah,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN