MINAT terhadap seni mempertahankan diri sejak kecil menjadi titik permulaan perjalanan pemuda itu sebagai atlet jujitsu negara.
Bermula dengan mempelajari beberapa disiplin pertahanan diri, anak muda itu akhirnya menemukan bidang yang benar-benar ingin dikuasainya sebelum melakar pencapaian di peringkat antarabangsa.
Adam Akasyah, 25, mula mempelajari seni mempertahankan diri ketika berusia sekitar enam hingga lapan tahun.
Menurutnya, antara disiplin yang pernah dipelajarinya ialah karate, taekwondo, aikido dan capoeira, sebelum memilih jujitsu sebagai tumpuan utama pada tahun 2013.
“Awalnya bapa saya mempunyai kecenderungan terhadap seni mempertahankan diri seperti silat, tinju, capoeira dan judo.
“Pendedahan awal itu membolehkan saya mengenali pelbagai teknik pergerakan, pertahanan dan kawalan tubuh sebelum membina kemahiran dalam jujitsu,” katanya ketika ditemui di Gimnasium Central Mix Martial Art (MMA) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tambahnya, penglibatan dalam seni bela diri bukan sekadar tentang menguasai teknik pertarungan, tetapi pengalaman menjadi mangsa buli ketika di bangku sekolah turut mendorongnya terus mendalami seni mempertahankan diri bagi membina keyakinan diri.
Adam berkongsi bahawa pengalaman berkenaan mendorongnya mengambil langkah untuk mempelajari jujitsu.
Baginya, sukan yang memfokuskan pertarungan di lantai itu bukan sahaja membantu meningkatkan keupayaan fizikal, malah memberikannya keberanian untuk menghadapi situasi sukar.
“Pengalaman itu menjadi antara titik penting dalam pembentukan diri saya, daripada seorang kanak-kanak yang berhadapan dengan masalah keyakinan kepada atlet yang berani menguji kemampuan sendiri di gelanggang antarabangsa.
“Langkah saya ke pentas kompetitif bermula dengan penyertaan dalam satu kejohanan di Bangkok, Thailand pada 2015.
“Penampilan sulung itu berakhir dengan kejayaan meraih pingat emas sekali gus memberikan suntikan semangat untuk meneruskan perjalanan dalam sukan berkenaan,” ujarnya.
Katanya lagi, sejak itu, dia semakin serius mengasah kemahiran dan menguji kemampuan menentang atlet dari negara lain.

Nama Adam mula mendapat perhatian apabila mencipta sejarah pada Sukan SEA Filipina 2019. Beraksi dalam kategori bawah 69 kilogram (kg), dia menewaskan atlet Vietnam, Pham Tri Dung, dengan keputusan 6-4 untuk meraih pingat gangsa.
Kemenangan itu menjadikannya antara atlet perintis yang menghadiahkan pingat kepada Malaysia dalam penampilan sulung jujitsu di temasya berkenaan.
Kejayaan tersebut bukan sekadar menambah koleksi pingat buat negara, malah memperlihatkan keupayaan Adam untuk bangkit ketika berhadapan tekanan.
Walaupun sebenarnya ketinggalan dalam pertarungan penentuan gangsa, dia berjaya mengubah keadaan menerusi ketenangan dan keberanian membuat keputusan pada saat penting.
Pada Sukan SEA Hanoi 2021, Adam sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila membawa pulang pingat perak.
Impiannya untuk meraih emas tidak kesampaian apabila kecederaan buku lali memaksanya menarik diri daripada pertarungan akhir menentang Noah Lim dari Singapura.
Di Sukan SEA Kemboja 2023, dia mengulangi pencapaian gangsa selepas menewaskan Michael Bryan Tiu dari Filipina, 4-2 dalam perlawanan penentuan pingat.
Selain Sukan SEA, Adam turut membina rekod dalam pertandingan Brazilian Jiu-Jitsu (BJJ) antarabangsa.
Adam juga merupakan pemegang tali pinggang hitam dengan tiga kejuaraan emas IBJJF Open dan dua emas bahagian profesional ADCC Open.
Pengalaman tersebut turut mengukuhkan kedudukannya sebagai atlet yang berpengalaman dalam pertandingan berintensiti tinggi.
Pada tahun ini, Adam turut melangkah ke Sukan Asia Aichi-Nagoya dalam kategori bawah 77kg. Walaupun berjaya menewaskan lawan dari Jordan pada pusingan pertama menerusi kemenangan submission, dia terkandas pada pusingan kedua selepas tewas 0-2 kepada Koo Bon-cheol dari Korea Selatan.
Keputusan itu tidak menafikan pengalaman berharga yang diperolehnya ketika berdepan barisan atlet terbaik Asia.
Bagi Adam, jujitsu bukan sekadar pertandingan yang menuntut kekuatan fizikal. Sukan itu memerlukan kebijaksanaan membaca pergerakan lawan, mengatur strategi dan menentukan masa yang tepat untuk menyerang atau bertahan.
“Jujitsu banyak membentuk diri saya pada hari ini. Seni itu mengajar bukan hanya menyerang tetapi mengamati setiap gerakan serta membuat keputusan yang betul ketika dalam saat genting.
“Sukan ini juga boleh membantu seseorang untuk membentuk keyakinan diri serta mempunyai aplikasi praktikal dalam kehidupan seharian,” kongsinya.
Selepas lebih sedekad mendalami seni tersebut, perjalanan Adam kini turut merangkumi peranan sebagai jurulatih.
Katanya lagi, dengan pengalaman yang diperoleh sehingga kini, dia ingin berkongsi dengan generasi baharu sekali gus melahirkan lebih ramai atlet jujitsu yang bakal mengharumkan nama negara pada masa akan datang.
















