Sebuah calet di Ulu Yam dipercayai terbakar sehingga terlihat percikan api elektrik berwarna biru.

[VIDEO] ‘Wayar jangan sentuh’, calet terbakar cetus situasi cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Suasana tenang di sebuah kawasan peranginan di Ulu Yam bertukar cemas apabila sebuah calet berhampiran sungai terbakar dengan api marak menjilat hampir keseluruhan bahagian atas bangunan berkenaan.

Kejadian itu turut mencetuskan kebimbangan orang ramai apabila kedengaran suara individu memberi amaran supaya tidak menyentuh wayar yang dipercayai berada berhampiran lokasi kebakaran.

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, api dilihat marak membakar bahagian tingkat atas calet berkenaan, manakala asap hitam tebal berkepul-kepul memenuhi ruang udara.

Rakaman itu turut memperlihatkan seorang lelaki berbaju biru berada tidak jauh dari lokasi kejadian sambil mengangkat tangan seolah-olah memberi isyarat kepada individu lain.

Lebih mencemaskan, kelihatan percikan api berwarna biru menyerupai percikan elektrik di sekitar kawasan bangunan yang sedang terbakar, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap risiko renjatan elektrik.

Video kejadian tersebut dikongsikan pengguna Threads, @mustakim_zulkifli, dengan memaklumkan sebuah calet di Ulu Yam terbakar.

“Calet di Ulu Yam terbakar,” tulisnya ringkas.

Perkongsian berkenaan turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang meluahkan rasa terkejut dan sedih melihat kejadian tersebut.

Seorang pengguna Threads, @hakimhelmyy, sempat berseloroh mengenai kejadian berkenaan.

“Sebab aku sudah lama tidak pergi bercuti di sini agaknya. Hutan pun sudah merajuk,” komennya.

“Aduh bahaya tu pengunjung jangan dekat, elektrik tengah menyambar,” komennya @raisya pula. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN