KUALA LUMPUR – Dalang sindiket antarabangsa yang merekrut rakyat Malaysia sebagai keldai dadah untuk menyeludup dadah ke Indonesia, Hong Kong dan Jepun berjaya ditahan menerusi Op Eristalinus.
Suspek warga Hong Kong dipercayai bertindak sebagai pembekal utama dadah diberkas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 5 November lalu dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (POLRI).
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan itu hasil siasatan terhadap 10 rakyat Malaysia berusia antara 19 hingga 26 tahun yang ditahan di Indonesia dan Jepun.
Menurutnya, sindiket berkenaan mengambil kesempatan terhadap individu yang berdepan masalah kewangan dengan menawarkan ganjaran lumayan sebelum merekrut mereka sebagai keldai dadah.
“Kesemua mereka dipercayai direkrut sindiket sama yang menyasarkan rakyat Malaysia dari Sarawak dan Pahang dengan modus operandi menyembunyikan dadah di dalam kasut sebelum dibawa menggunakan penerbangan komersial,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Selain itu, menurut Hussein, pihaknya juga mengenal pasti dan menahan tiga suspek yang berperanan sebagai perekrut di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
“Seorang lagi suspek yang turut berperanan sebagai perekrut dan keldai dadah pula ditangkap pihak berkuasa Hong Kong ketika cuba menyeludup dadah ke negara berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek warga Hong Kong yang ditahan di sekitar Brickfields, di sini, turut membawa kepada rampasan 450 gram kokain serta dua pasang kasut yang dipercayai akan diserahkan kepada pasangan keldai dadah.
“Tindakan itu berjaya menyelamatkan kedua-dua individu berkenaan daripada menjadi mangsa eksploitasi sindiket.
“JSJN turut berjaya mengenal pasti lokasi sumber perolehan kasut yang digunakan untuk menyembunyikan dadah selain mengesan tempat penginapan individu yang direkrut sindiket berkenaan,” ujarnya.
Beliau berkata, sindiket terbabit dipercayai aktif sejak September tahun ini dan suspek warga asing berkenaan didapati masuk ke Malaysia sejak 2022.
Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
Beliau menambah, semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai lima rekod jenayah lampau di negara asal, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod jenayah lampau dan suspek ketiga memiliki satu rekod berkaitan dadah.
Sebelum ini, lima rakyat Malaysia terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia pada 25 September lalu.
Lima lagi membabitkan dua lelaki dan tiga wanita pula ditahan di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo, Jepun pada 10 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE
















