GEORGE TOWN – Seorang lelaki terselamat apabila sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Jenis Land Rover Defender musnah dalam satu kejadian kebakaran di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini, tadi.
Mangsa berusia 39 tahun dikatakan terlebih dahulu keluar daripada kenderaan itu sebelum keseluruhannya hangus dijilat api.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 1.18 tengah hari.
Menurutnya, sembilan anggota termasuk penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak digerakan ke lokasi kejadian.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta jenis Land Rover Defender dengan anggaran kemusnahan sebanyak 90 peratus dan tidak melibatkan mangsa.
“Kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya, di sini tadi. – KOSMO! ONLINE
















