fbpx
AZIZULHASNI menganggap urusannya di pentas Olimpik masih belum selesai dan berharap untuk kembali menebus kekecewaan di Paris lalu.

Azizulhasni mahu lengkapkan legasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang memasang misi besar untuk melengkapkan legasinya dengan penampilan keenam pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 sekiranya berjaya melepasi kelayakan.

Pelumba berusia 38 tahun itu mengakui masih mempunyai perkara yang belum diselesaikan selepas kempen Paris 2024 berakhir dengan kekecewaan apabila disingkirkan pada pusingan pertama acara keirin kerana memotong derny.

Kegagalan menampilkan kemampuan sebenar di Paris menyebabkan Azizulhasni terus dibayangi rasa tidak puas hati, sekali gus mendorongnya kembali daripada persaraan sementara untuk memburu satu lagi peluang di pentas Olimpik.

“Saya membuat keputusan untuk kembali kerana di Paris, saya tidak dapat berlumba dengan baik dan tidak berpeluang menunjukkan prestasi sebenar. Selepas bersara selepas Paris, setiap hari saya bangun dengan perasaan tidak puas hati, seolah-olah ada sesuatu yang belum selesai,” katanya.

Justeru, Azizulhasni mahu menjadikan Los Angeles sebagai pentas terakhir untuk menutup perjalanan panjangnya dalam sukan berbasikal trek dengan pencapaian yang lebih bermakna, namun menegaskan kelayakan menjadi keutamaan buat masa ini.

“Bagi Olimpik seterusnya, saya hanya mahu fokus kepada satu langkah pada satu masa dan memastikan kelayakan terlebih dahulu.

“Namun, jika ditanya sekarang, Olimpik itu adalah peluang untuk saya melengkapkan legasi dan diharapkan menjadi penampilan keenam saya,” katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam), kelmarin.

Azizulhasni turut menerima insentif RM180,000 menerusi Shakam, namun menegaskan ganjaran bukan keutamaan kerana fokus utamanya adalah meningkatkan prestasi serta mengharumkan nama negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN