fbpx
Mendiang Beng Hock

Bantahan awal AGC semakan kehakiman keluarga Beng Hock diketahui 17 November

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 17 November bagi keputusan bantahan awal Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung semakan kehakiman baharu yang difailkan keluarga mendiang Teoh Beng Hock bagi mendapat perintah bahawa kematiannya sebagai kes pembunuhan.

Hakim Norliza Othman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah daripada
Peguam Persekutuan, Mohammad Salehuddin Md Ali yang mewakli kerajaan dan peguam Lim Wei Jiet yang bertindak mewakili keluarga Beng Hock.

Dalam permohonan semakan kehakiman itu, pemohon-pemohon terdiri daripada Teoh Meng Kee (abang mendiang), Teoh Leong Hwee (bapa) dan Teng Shuw Hoi (ibu).

Mereka menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden-responden

Berdasarkan dokumen keluarga mendiang memohon perisytiharan bagi memaksa polis membuka siasatan sebagai kes pembunuhan di bawah Seksyen 302 atau kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Pemohon memohon deklarasi bahawa responden-responden mempunyai tanggungjawab undang-undang untuk memulakan siasatan berhubung kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009 di bawah kesalahan jenayah membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atau mematikan orang dengan salah di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Mereka juga memohon perintah mandamus untuk memaksa responden-responden melengkapkan siasatan tersebut dalam tempoh 120 hari dari tarikh perintah ini.

Meng Kee menerusi afidavit sokongannya mendakwa responden-responden telah gagal memberikan alasan dan penjelasan mengapa tiada siasatan terhadap kematian Beng Hock di bawah Sesyen 302 dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata kematian mendiang merupakan isu yang telah berlarutan sekian lama dan melibatkan kepentingan awamm, namun sehingga hari ini, tiada mana-mana individu atau pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa berhubung kematian tersebut walaupun terdapat keputusan Mahkamah Rayuan mengenainya.

Pada 21 November 2024, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang.

Bagaimanapun, pada 20 Mei 2025, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor menulis surat kepada bekas peguam cara keluarga mendiang, memaklumkan bahawa siasatan telah dijalankan di bawah kesalahan pengurungan salah di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan dan Jabatan Peguam Negara telah memutuskan bahawa Tiada Tindakan Lanjut (NFA) berhubung perkara itu.

Beng Hock, yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemukan maut pada 16 Julai 2009 di bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM di tingkat 14 premis berkenaan.

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Beng Hock pada 2009 bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh.

Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Tiga tahun selepas itu, pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN