TAHUN ini, program hiburan paling dinanti-nantikan peminat tanah air kembali lagi, di mana Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13) hadir dengan membawakan kelainan menerusi format baharu.
Menariknya, kesemua kerusi peserta musim ini diisi barisan juara program realiti popular, Akademi Fantasia (AF), yang dipertemukan dalam satu gelanggang berprestij.
Antara nama besar yang mencuri tumpuan ialah Faizal, penyanyi yang pernah diangkat sebagai juara AF musim keempat (AF4).
Sekian lama menyepi daripada radar arus perdana seni, pemilik nama lengkap Mohammad Faizal Ramly menyifatkan penyertaannya dalam GV13 sebagai satu rahmat besar serta peluang keemasan untuk kembali bernafas dalam industri nyanyian.
“GV ini adalah salah satu bonuslah pada saya. Tak sangka Astro berikan tawaran untuk saya masuk program ini.
“Saya terfikir juga ini satu peluang besarlah untuk saya buat kemunculan semula. Maknanya, satu langkah yang mudah untuk saya timbulkan diri.
“Saya pun dah lama hilang, bukan senang tau sebab artis sekarang dah ramai. Bila nak timbul balik macam-macam kreativiti kena buat.
“Bila dapat ke GV, saya bersyukur sangat. Tak kisahlah macam mana perjalanannya sekali pun, saya cuba persiapkan diri yang terbaik untuk menjalani pertandingan ini,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya mengenai kehilangannya selepas era kegemilangannya dahulu, penyanyi berusia 42 tahun itu mengakui sudah sedekad memilih menetap di Terengganu.
“Untuk pengetahuan semua, sebelum ini saya menetap di Terengganu. Sekarang, empat bulan saya dah berpindah di KL dan menetap di sini.
“Jadi kalau ada yang tertanya-tanya ke mana saya lama menghilang, dah 10 tahun saya di Terengganu, itu salah satu faktor saya kurang timbul.
“Tapi sebenarnya saya tak berhenti menyanyi, saya banyak buat persembahan di negeri saya dan buat kerja-kerja lain. Kalau dahulu masa saya tunggu ‘show’, saya buat kerja jual penapis air dan terlibat dalam askar Wataniah,” jelasnya.
Turunkan berat badan
Selepas mendapat tawaran GV13, Faizal mengakui berhempas-pulas menurunkan berat badan demi stamina vokal yang mantap.
“Persediaan saya sekarang ini perlu kecilkan sikit tubuh badan saya. Mungkin selama menetap di Terengganu, makan makin berselera.
“Tak sangka pula dapat tawaran masuk GV, kalau saya tahu, saya tak makan bermula empat bulan lepas.
“Sekarang saya nak kecilkan tubuh badan supaya nampak kurus dan lebih bertenaga ketika bernyanyi,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelantun lagu Datanglah itu melihat penyertaannya dalam edisi kali ini bukan sahaja membuka ruang untuk kembali aktif, malah menjadi platform strategik untuk memperkasakan perniagaannya.
“Bila dapat tawaran GV, saya dah nampak macam-macam perancangan sebab kita teruja. Mungkin selepas ini kalau jual produk lebih mudah.
“Saya buat siaran langsung pun penonton akan bertambah. Sebelum ini ada saya buat siaran langsung, tiada penonton,” tutupnya.
















