LONDON – Pengurus Manchester United, Michael Carrick mengesahkan bahawa beliau akan kekal mengendalikan pasukan itu menjelang saingan Liga Juara-Juara menentang AS Roma awal pagi Rabu nanti.
Masa depan Carrick hangat diperkatakan apabila United terus berdepan malang apabila tewas 0-2 berdepan Chelsea kelmarin sekali gus tanpa kemenangan dalam sembilan perlawanan dan menjadi rekod terburuk buat kali pertama sejak 1988.
Selepas sah terus diberikan peluang sebelum ini, Carrick terus gagal membantu United untuk pulih, malah gol yang dibolosi menunjukkan secara jelas mengenai kelemahan benteng pertahanan termasuk jaringan pertama menerusi Morgan Rogers.
“Sudah tentu itu bukan gol yang baik untuk dibolosi. Morgan berjaya menembusi bahagian tengah pertahanan kami dan pada ketika itu perlawanan masih seimbang. Dibolosi dengan cara begitu tidak baik.
“Sekarang saya hanya mahu memberi tumpuan untuk mempersiapkan pemain bagi menghadapi perlawanan pertengahan minggu nanti,” katanya.
United mempamerkan aksi yang baik pada separuh masa pertama, namun gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan sebelum mereka mula hilang rentak selepas ketinggalan.
Peluang untuk bangkit semakin tipis apabila Lisandro Martínez dilayangkan kad merah akibat melakukan kekasaran. Insiden itu turut menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea yang disempurnakan oleh Cole Palmer untuk menjadikan kedudukan 2-0.
“Ia merupakan salah satu faktor utama dalam perlawanan tersebut. Gol kedua dan kehilangan seorang pemain pada peringkat itu memberikan kesan yang besar terhadap permainan,” katanya.
Carrick turut ditanya sama ada pemainnya sudah bersedia untuk menghadapi perjuangan mengelakkan penyingkiran.
“Anda boleh melihat situasi ini dari sudut itu, tetapi anda juga boleh melihat betapa cepatnya kedudukan dalam liga boleh meningkat jika kita memenangi perlawanan. Itulah pendekatan yang perlu kami ambil,” katanya. – AGENSI
















