TEMPOH 16 tahun bukan waktu singkat untuk terus berdiri di belakang bayang-bayang orang lain, apatah lagi apabila insan yang sering dibandingkan adalah adik sendiri.
Namun, bagi penyanyi Emma Suhaimi, menjadi kakak kepada Adira bukan tiket untuk cemburu, sebaliknya perjalanan panjang mendidik hati untuk menerima hakikat bahawa rezeki setiap orang berbeza.
Akui si penyampai radio itu juga, jika dahulu dia mudah terasa hati apabila suara dan populariti dibandingkan dengan Adira, kini tembok sensitifnya semakin menebal.
Kayu pengukur
Bukan tiada bakat, tetapi apabila dua beradik berkongsi gelanggang sama, kejayaan baik si adik atau kakak, sering kali menjadi kayu pengukur yang terpaksa didepani seorang lagi.
“Dahulu pernah terasa, tetapi bukan cemburu dengan adik. Tidak sama sekali. Cuma kadang-kadang terfikir kenapa mahu terus membandingkan kami.
“Pernah juga terselit perasaan sedih, tetapi Adira antara individu yang gigih menyuntik semangat agar saya tidak cepat patah putus ada.
“Seiring kematangan, saya semakin faham bahawa setiap penyanyi mempunyai perjalanan tersendiri dan tidak semua orang akan menikmati kejayaan pada waktu yang sama.
“Apabila adik-beradik sama-sama berada dalam industri, sudah tentu akan ada perbandingan. Bukan saya dan Adira sahaja, mungkin pasangan adik-beradik selebriti lain juga melalui perkara sama,” katanya.
Emma kini tidak lagi melihat kejayaan Adira sebagai sesuatu yang perlu disaingi, sebaliknya memilih meraikan pencapaian insan kesayangannya itu meskipun diri sendiri masih bergelut mencari ruang untuk menyerlah.
“Selepas lebih sedekad dalam industri ini, saya semakin yakin semuanya bergantung kepada rezeki. Siapa yang menyerlah dahulu itu cerita belakang. Kita kena sentiasa gembira melihat orang yang lebih dahulu berjaya.
“Apatah lagi dia darah daging saya sendiri. Semestinya saya tumpang gembira atas pencapaian diraih adik kesayangan saya itu,” ujarnya.
Lebih menarik, anak jati Sabah itu juga secara terbuka mengakui dirinya sudah terbiasa menjadi orang yang dianggap biasa-biasa.
Namun, kenyataan itu bukan bermaksud dia sudah berputus asa, tetapi berlapang dada menerima kedudukan dirinya sambil menyimpan harapan untuk mengubah keadaan.
“Saya sudah lali kerana belajar menerima. Dalam kalangan adik-beradik pun lumrahnya mungkin seorang akan lebih menyerlah dan seorang lagi biasa-biasa sahaja.
“Saya sudah biasa menjadi orang yang biasa-biasa itu.
“Mana tahu selepas ini saya pula jadi luar biasa?” luahnya dengan tenang.
Tersakiti bukti perjuangan
Kata-kata itu mungkin kedengaran bersahaja, tetapi tersirat keinginan untuk membuktikan bahawa dirinya masih mempunyai sesuatu untuk ditawarkan kepada industri muzik.
Selepas sekian lama namanya dikaitkan dengan Adira, Emma mahu pendengar mengenalinya menerusi karya dan kekuatan vokalnya sendiri.
Kemunculan semula menerusi single Tersakiti ciptaan komposer Indonesia, Ilham Baso disifatkan sebagai langkah penting ke arah itu.
“Inilah lagu baharu yang menjadi titik pemula untuk saya terus bangkit biarpun perjalanan untuk kembali bukan sesuatu yang mudah.
“Dulu saya tidak kalis kecaman. Saya sangat sensitif dan hati tisu. Tetapi sekarang, insya-Allah saya semakin kalis,” katanya.
Bagaimanapun, Emma mengakui dirinya masih manusia biasa yang mempunyai perasaan apabila ada waktunya komen negatif tetap mengguris hati, apatah lagi apabila orang mempertikaikan kedudukannya dalam industri.
“Sebagai orang yang sudah agak lama dalam industri, bolehlah dikatakan saya semakin matang tetapi kadang-kadang masih ada hati tisu. Kita manusia,” ungkapnya.
















