fbpx
Keadaan kepala ayam yang dialirkan air yang ada arus elektrik sebelum disembelih di sebuah premis proses ayam di Puchong.

Gudang diserbu bekal ayam ke premis tumpuan orang Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebuah premis yang diserbu pihak berkuasa dalam Op Taring Chiller di Puchong kelmarin dipercayai menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik atau ‘water bath stunning’ sebelum menyembelih ayam.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar berkata, melalui proses itu, ayam digantung pada sistem penghantar sebelum kepalanya melalui air yang dia­lirkan arus elektrik sebelum disembelih.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati kadar voltan elektrik yang digunakan di premis itu dipercayai terlalu tinggi sehingga menyebabkan ayam mati serta-merta sebelum melalui proses penyembelihan.

“Dalam kaedah ini, ayam sepatutnya masih hidup selepas pro­ses ‘stunning’ sebelum disembelih mengikut hukum syarak.

“Namun, dalam kes ini ayam dipercayai mati akibat kejutan elektrik sebelum proses sembelihan dilakukan. Perkara ini menjadi antara fokus utama siasatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Mohd. Zaki berkata, pihak berkuasa percaya kaedah itu digunakan sepanjang premis berkenaan beroperasi kira-kira 20 tahun lalu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan tempoh sebenar penggunaan alat tersebut.

Mohd. Zaki

Semalam, Kosmo! melaporkan seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong pada pukul 12.40 tengah malam.

Operasi bersepadu itu turut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik mengandungi 6.5 tan ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400.

Siasatan awal mendapati bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang sebelum diproses dan dipercayai diedarkan kepada pe­langgan termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya.

Selain KDNKA, operasi tersebut turut disertai pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Pejabat Kesihatan Daerah Petaling.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 38(1) Akta Kua­liti Alam Sekeliling 1974.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5 juta (bagi kesalahan pertama) dan maksimum RM10 juta (untuk kesalahan berikutnya).

Bagi individu, pesalah boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua­nya (bagi kesalahan pertama), denda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-dua­nya (untuk kesalahan berikutnya).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN