fbpx
Mohd. Zaki mendedahkan ayam yang diproses di sebuah gudang di Puchong beroperasi selama 20 tahun.

Ayam direnjat, ada yang mati serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Ayam diproses di sebuah premis di Puchong, Selangor yang diragui status halalnya dipercayai diedarkan ke pasar raya di sekitar Lembah Klang termasuk yang menjadi tumpuan orang Islam.

Antara kawasan pengedaran dikenal pasti adalah Damansara, Bangi, Puchong, Cheras, Putra Perdana dan Putrajaya selain beberapa lokasi lain di Lembah Klang.

Komander Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Mohd. Zaki Ashar mengesahkan pengedaran itu turut melibatkan pasar raya yang biasanya dikunjungi pengguna Islam.

Menurut beliau, premis terbabit dipercayai menjalankan operasi penyembelihan, pemprosesan dan pengedaran ayam sejak 20 tahun lalu.

“Premis itu beroperasi selama 20 tahun dan pemilik­nya merupakan warga tempatan berusia 34 tahun.

“Premis berkenaan juga tidak mempunyai sijil halal daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Semalam, Kosmo! melaporkan seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong pada pukul 12.40 tengah malam.

Operasi bersepadu itu turut membawa kepada rampasan 468 bungkusan plastik mengandungi 6,555 kilogram (kg) ayam mentah dianggarkan bernilai RM85,400.

Siasatan awal mendapati bekalan ayam diperoleh daripada beberapa ladang sekitar Sungai Sepat, Sungai Pelek dan Sepang sebelum diproses dan dipercayai diedarkan kepada pe­langgan termasuk kedai makan, kedai runcit serta pasar raya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(A) dan Seksyen 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 38(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Seksyen tersebut memperuntukkan denda sehingga RM5 juta (bagi kesalahan pertama) dan sehingga RM10 juta (untuk kesalahan berikutnya).

Bagi individu pula, pesalah boleh denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 3 tahun, atau kedua-duanya (kesalahan pertama) dan denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 5 tahun, atau kedua-duanya (untuk kesalahan berikutnya).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN