fbpx
PARA peserta konvoi RXZ bergambar berlatarbelakangkan pemandangan EBC di Tibet baru-baru ini.

Geng RXZ pertama jejak kaki di Everest Base Camp

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEINGINAN untuk menjadi kumpulan motosikal jenis RXZ pertama negara sampai ke Everest Base Camp (EBC) menjadi pembakar semangat buat 16 peserta bagi menjayakan misi tersebut.

Pertubuhan MS88 Kelab Permotoran merealisasikan matlamat luar biasa itu dengan menggunakan motosikal Yamaha RXZ135 menjelajah ribuan kilometer (km) menuju ke EBC (utara) di Tibet.

Perjalanan yang disertai 14 motosikal bersama dua pembonceng itu memulakan perjalanan sekitar awal Oktober lalu dari Bukit Kayu Hitam, Kedah sebelum merentasi Thailand, Laos dan China.

Menurut salah seorang peserta, Muhamad Qusyairy, bencana banjir lumpur dahsyat dan tanah runtuh di Nepal pada Ogos lalu sedikit sebanyak memberikan kebimbangan untuk menjayakan perjalanan itu.

“Kebimbangan itu ada pada awalnya apabila berlaku banjir di sana, tetapi disebabkan tempahan sudah dibuat, jadi kami nekad untuk meneruskannya.

“Lagipun, ejen juga memaklumkan, segalanya baik-baik saja kerana sebelum ini laluan ke EBC itu tidak boleh dilalui dan perlu melalui jalan utama sejauh 130km sebelum ke EBC.

“Namun setelah semuanya reda, ejen kemudian memaklumkan kepada kami bahawa semuanya kembali seperti yang dirancang dan perjalanan boleh dimulakan,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Para peserta berkonvoi antara 200km hingga 500km sehari menuju ke EBC.

Dari Thailand, konvoi meneruskan perjalanan melalui Chiang Rai dan Chiang Khong, sebelum memasuki Laos menerusi Boten dan seterusnya Mohan, China.

Perjalanan kemudian diteruskan melalui Jinghong, Zhenyuan, Dali, Lijiang, Shangri-La, Deqen, Mangkang, Zogang, Ranwu, Nyingchi dan Lhasa, sebelum menghala ke EBC.

“Keseluruhan perjalanan dari Thailand mengambil masa sekitar 31 hingga 32 hari dan bergantung kepada keadaan laluan, cuaca serta faktor keselamatan.

“Motosikal RXZ yang digunakan memiliki enjin dua lejang atau 2T, ia berbeza dengan motosikal moden yang lebih canggih dan sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

“Perjalanan merentasi kawasan pergunungan dengan ketinggian sehingga kira-kira 5,300 meter dari aras laut turut menguji ketahanan fizikal dan mental para peserta.

“Lebih mencabar, apabila kami memasuki kawasan Tibet yang mempunyai jalan berbatu dan laluan teruk,” katanya.

Risiko batu besar terjatuh dari lereng gunung ke jalan raya juga menyebabkan para penunggang perlu sentiasa berwaspada.

Para peserta bergambar kenangan di Pintu Sempadan Boten (Boten International Checkpoint) di Laos yang bersempadan Mohan, China.

Keadaan cuaca yang sejuk, terutama ketika memasuki kawasan Tibet dengan suhu sekitar dua hingga empat darjah Celsius menambahkan lagi cabaran sepanjang perjalanan.

“Mendapatkan makanan halal juga menjadi hal mencabar di sesetengah kawasan. Disebabkan itu, kami ada membawa bekalan makanan dari Malaysia dan kami masak sendiri jika berhenti di sesuatu lokasi.

“Bukan sahaja keperluan memasak, konvoi juga membawa bersama alat ganti dari Malaysia sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan berlaku kerosakan.

“Sekiranya motosikal bermasalah, kelengkapan yang dibawa itu dapat menjimat masa kami jika perlu berhenti di pinggir jalan dalam cuaca sejuk,” katanya.

Sepanjang perjalanan di China, pasukan konvoi mengharungi kira-kira 4,000km di lebuh raya dan 4,500km melalui jalan darat termasuk laluan kampung mencabar. Jarak perjalanan harian pula ditentukan berdasarkan keadaan laluan dan lokasi yang selamat untuk berehat, dengan jarak sekitar 200km hingga 500km sehari.

Kebiasaannya, perjalanan di China dimulakan pada awal pagi dan berhenti sebelum matahari terbenam kerana keadaan jalan di negara itu tidak sesuai dilalui pada waktu malam.

Walaupun berdepan pelbagai cabaran, namun keindahan alam semula jadi yang disaksikan sepanjang perjalanan menjadi pembakar semangat buat para peserta.

Pemandangan banjaran gunung yang diliputi salji memberikan pengalaman berharga kepada para peserta untuk terus mengharungi perjalanan.

Bukan sekadar perjalanan bermotosikal, ekspedisi itu turut mengeratkan hubungan sesama peserta apabila setiap perselisihan faham diselesaikan melalui perbincangan dan keputusan bersama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN