fbpx

Murung, pendam rasa selepas sakit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Proses pemulihan pesakit rehabilitasi bukan sekadar melibatkan keupayaan fizikal, malah merangkumi aspek emosi dan psikologi bagi membantu golongan itu menyesuaikan diri dengan perubahan besar dalam kehidupan.

Bagi individu yang mengalami perubahan keupayaan akibat penyakit, kemalangan atau kecederaan termasuk strok dan amputasi susulan kom­plikasi diabetes, mereka berpotensi berdepan tekanan emosi sepanjang proses pemulihan.

Susulan itu, aspek kesihatan mental pesakit perlu diberi perhatian seiring dengan rawatan perubatan fizikal bagi memastikan proses pemulihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Ikuti wawancara Wartawan Kosmo! Ahad, Ridzauddin Roslan bersama Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling, Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), Dr. Linda Jamaludin bagi mengupas cabaran psikologi serta pendekatan yang dilaksanakan bagi membolehkan pesakit mendapatkan keyakinan diri untuk membina semula matlamat hidup.

Dr. Linda Jamaludin

 

KOSMO! AHAD: Apabila seseorang itu mengalami penyakit, kecederaan atau perubahan keupayaan, apakah cabaran psikologi dan emosi yang mungkin dihadapi mereka?
LINDA: Secara konsepnya, apabila seseorang mengalami penyakit atau kecederaan, perubahan yang dihadapi bukanlah keadaan fizikal semata-mata, sebaliknya ia turut memberi kesan kepada rutin harian, pekerjaan dan peranan dalam keluarga.

Jadi, keadaan itu boleh mencetuskan pelbagai emosi termasuk kesedihan, kebimba­ngan, kemarahan serta kehilangan keya­kinan diri.

Dalam konteks ini, ada antara mereka yang mula mempersoalkan harga diri, berasa kurang yakin dengan kemampuan diri sendiri atau bimbang menjadi beban kepada keluarga.

Jadi, dalam proses rehabilitasi, ia adalah penting untuk memberikan ruang kepada pesakit berkongsi pengalaman. Justeru, kita perlu mendengar dan memahami terlebih dahulu apa yang dilalui mereka.

Dengan memberikan ruang untuk bersuara, kita bukan sahaja dapat memahami keperluan emosi pesakit, malah dapat membantu memastikan soko­ng­an yang wajar diberikan.

Adakah tekanan emosi dihadapi pesakit termasuk ketika mendapatkan rawatan berisiko menyebabkan mereka mengalami gangguan mental?
Jika gangguan emosi dan psikologi itu berlaku secara berterusan, pesakit berisiko berdepan masalah kesihatan mental yang lebih serius.

Biasanya, antara tanda-tanda psikologi sering dihadapi pesakit adalah kebimbangan melampau (anxiety), kesedihan berpanjangan dan kemurungan (depression) termasuk keresahan memikirkan masa depan, kehilangan minat terhadap akti­viti rutin harian, me­ngalami kesukaran tidur serta berasa menjadi beban kepada keluarga.

Ada juga pesakit yang sering menyalahkan diri sendiri terhadap apa yang berlaku dan pe­rasaan tidak berharga.

Keadaan itu boleh menjejaskan kesejahteraan mental mereka dan mengganggu proses pemulihan sekiranya tidak dita­ngani dengan sewajarnya.

Jadi, Unit Psikologi Kaunseling bekerjasama dengan pasukan rehabilitasi lain iaitu Pakar Perubatan Rehabilitasi termasuk ahli terapi cara kerja, ahli fisiote­rapi, ahli terapi pertuturan bagi memastikan pesakit menerima sokongan secara menyeluruh sepanjang rawatan.

Bagi pesakit mengalami tekanan emosi amat serius pula, penilaian psikologi akan dilakukan untuk menentukan keper­luan mendapatkan rawatan lanjut. Pesakit yang memerlukan intervensi lebih khusus akan dirujuk kepada pakar psikiatri.

Mengapakah penjagaan kesihatan mental dilihat sama penting dengan pemulihan fizikal sepanjang proses rehabilitasi?
Keadaan fizikal dan emosi memang saling mempengaruhi. Apabila pesakit sakit atau terlalu letih, emosi mereka juga boleh terkesan.

Keadaan emosi boleh mempengaruhi keyakinan, motivasi dan kesediaan pesakit untuk menyertai latihan rehabilitasi.

Oleh itu, sokongan psikologi perlu bergerak seiring dengan pemulihan fizikal.

Pesakit dibantu memahami emosi, mengurus tekanan dan membina matlamat yang realistik serta bermakna.

Matlamat tersebut mungkin berupa keupayaan mengurus diri dengan lebih berdikari, kembali bekerja atau menyertai semula aktiviti bersama keluarga dan masyarakat.

Apakah antara kebimba­ngan yang sering dikongsikan pesakit?
Kebimbangan pesakit bukan sahaja tertumpu kepada kea­daan fizikal, malah melibatkan perubahan imej kendiri, hubu­ngan dengan pasangan, kedu­dukan kewangan serta tanggungjawab terhadap anak-anak dan keluarga.

Persoalan seperti “Bolehkah saya menguruskan diri sendiri selepas ini?”, “Mampukah saya kembali bekerja?”, “Siapa yang akan menjaga saya?” dan “Adakah saya akan menjadi beban kepada keluarga?” antara yang sering dilontarkan pesakit.

Situasi itu memperlihatkan bahawa proses penyesuaian diri bukanlah sesuatu yang mudah kerana pesakit perlu membina semula keyakinan, menerima keadaan diri dan menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan yang mungkin berbeza daripada sebelumnya.

Dalam proses pemulihan itu, adakah sokongan keluarga memainkan peranan yang ­sa­ngat penting?
Sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam membantu pesakit menjalani proses rehabilitasi, khususnya bagi mereka yang masih bergelut menerima perubahan fizikal dan sedang berusaha menyesuaikan diri dengan perubahan ke­upayaan.

Pesakit bukan sahaja memerlukan bantuan keluarga untuk menjalani latihan pemulihan, malah sokongan emosi daripada pasangan, anak-anak dan ahli keluarga bagi membina semula keyakinan diri.

Tanpa sokongan berterusan, pesakit yang pada awalnya me­nunjukkan perkembangan positif berisiko kembali berasa tertekan apabila berdepan cabaran kehidupan selepas keluar dari hospital.

Dalam hal ini, sokongan keluarga amat penting kerana tempoh interaksi pesakit dengan pasukan rehabilitasi di hospital adalah terhad, sedangkan mereka akan menghabiskan sebahagian besar masa bersama keluarga sebaik pulang ke rumah.

Justeru, keluarga perlu memainkan peranan memberikan dorongan, membantu urusan harian serta meyakinkan pesakit bahawa mereka masih mempu­nyai harapan untuk menjalani kehidupan bermakna.

Ahli keluarga dan penjaga juga memerlukan perhatian ke­rana mereka mungkin mengalami keletihan, tekanan serta peru­bahan tanggungjawab.

Sehubungan itu, Unit Psikologi Kaunseling HRC turut menyediakan soko­ngan psikologi dan kaunseling kepada keluarga serta penjaga mengikut keperluan.

Bagaimana stigma masalah kesihatan mental dan ke­tidakupayaan boleh menye­babkan pesakit memendam perasaan atau teragak-agak untuk mendapatkan bantuan?
Stigma boleh membuatkan seseorang berasa bahawa meluahkan kesedihan atau mendapatkan bantuan psikologi adalah tanda kelemahan.

Ada yang bimbang dipandang rendah atau dianggap tidak mampu mengurus kehidupan sendiri. Apabila ketidakupayaan ­disalah anggap sebagai ketidakmampuan dalam semua aspek kehidupan, keyakinan seseorang itu juga boleh terjejas.

Akibatnya, pesakit mungkin memilih untuk memendam ­perasaan walaupun memerlukan bantuan psikologi.

Kita perlu membina perseki­taran yang membolehkan mereka bersuara tanpa takut dihakimi atau diperkecilkan. Mendapatkan bantuan merupakan satu langkah untuk menjaga kesejahteraan diri.

Bagaimanakah Pegawai Psi­kologi di HRC membina kepercayaan dan menyediakan ruang selamat untuk pesakit selesa berkongsi rasa?
Kepercayaan bermula apabila pesakit dilayan dengan empati, hormat dan penerimaan tanpa syarat. Pegawai psikologi mendengar secara aktif, memberikan masa untuk pesakit bercerita dan menghormati kesediaan mereka untuk berkongsi.

Bahasa serta pendekatan juga disesuaikan dengan keperluan komunikasi, tahap kefahaman dan keadaan pesakit.
Kerahsiaan dan batasnya di­terangkan sejak awal termasuk keadaan yang melibatkan keselamatan diri atau orang lain serta keperluan undang-undang.

Matlamat sesi pula dibincangkan bersama supaya pandangan dan pilihan pesakit diberikan perhatian.

Dengan cara ini, pesakit dapat melihat suara mereka mempu­nyai peranan dalam menentukan sokongan yang diterima.
Pendekatan ini membantu pesakit berasa didengari, dihormati dan dilibatkan dalam proses pemulihan mereka.

Dalam proses rehabilitasi, apakah contoh kemajuan mungkin membawa makna besar kepada keyakinan, kemandirian dan kehidupan pesakit?
Kadangkala, perkara yang nampak kecil pada pandangan kita sangat besar maknanya bagi sesetengah pesakit.

Contohnya, apabila mereka mula boleh mengurus diri sendiri seperti makan, memakai pakaian atau menjaga kebersihan diri, walaupun masih memerlukan alat bantuan atau sedikit bantuan orang lain.

Keupayaan ini boleh membantu mereka berasa lebih yakin dan lebih berdikari. Bagi pesakit, apabila mereka dapat melakukan semula sesuatu yang sebelum ini memerlukan bantuan orang lain ia merupakan pencapaian yang sangat bermakna.

Apakah mesej kepada individu yang memerlukan soko­ngan psikologi tetapi masih teragak-agak untuk mendapatkan bantuan?
Pengalaman anda penting dan berhak untuk didengari. Jadi, pesakit tidak perlu menunggu sehingga tekanan menjadi terlalu berat untuk mendapatkan bantuan.

Jika sesuatu pengalaman mengganggu emosi, hubungan atau kehidupan harian, perkara itu wajar diberikan perhatian segera.

Jika tekanan yang dialami mula mengganggu emosi, hubu­ngan atau kehidupan harian, dapatkan bantuan profesional daripada Pegawai Psikologi (Kaunseling) untuk memahami emosi, mengurus tekanan dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam kehidupan.

Sebagai langkah awal, anda juga boleh berkongsi dengan seseorang yang dipercayai atau berbincang dengan petugas kesihatan bagi mendapatkan rujukan kepada perkhidmatan psikologi kaunseling.

Setiap suara wajar didengari dan setiap orang berhak mendapat sokongan untuk membina kehidupan yang bermakna.
Dalam hal ini, setiap perkongsian perlu disambut dengan empati, penghormatan dan tindakan yang bersesuaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN