JELEBU – Isu peletakan jawatan imam di daerah ini dijangka berpanjangan apabila terdapat usaha untuk mengemukakan memorandum bantahan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) berhubung arahan menyebut nama Undang Luak Jelebu dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.
Seorang imam yang enggan dikenali berkata, memorandum itu sedang diusahakan untuk mendapatkan sokongan dan tandatangan imam kariah di Jelebu sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri.
Menurutnya, antara tuntutan utama memorandum itu supaya JHEAINS menarik semula arahan tersebut bagi mengelakkan pertikaian yang sedang berlaku menjejaskan keharmonian institusi masjid dan hubungan jemaah.
“Memorandum bantahan terhadap arahan membaca doa dalam khutbah kedua akan dihantar. Tuntutan kami supaya JHEAINS menarik semula arahan itu.
“Sekiranya arahan itu tidak ditarik balik, semua imam di Jelebu mungkin akan mengambil tindakan meletakkan jawatan, namun ada juga kemungkinan sebahagiannya tidak berbuat demikian,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Secara keseluruhannya, terdapat 29 buah masjid dan dua surau Jumaat di Jelebu.
Sementara itu, seorang lagi imam yang turut meletakkan jawatan mendakwa, tindakan tersebut dilakukan kerana tidak bersetuju dengan arahan membaca nama individu yang didakwa masih menjadi pertikaian.
Katanya, isu itu perlu ditangani secara berhati-hati kerana beliau berpandangan terdapat perintah interim mahkamah yang mengekalkan status quo sementara menunggu penyelesaian pertikaian tersebut.
Katanya, bantahan itu bukan bertujuan untuk mengingkari arahan pihak berkuasa agama negeri, sebaliknya bagi mengelak masjid terpalit dalam pertikaian berkaitan adat dan tekanan politik.
Sebahagian imam berpandangan urusan adat dan politik tidak seharusnya dicampuradukkan dengan pentadbiran agama sehingga menimbulkan tekanan kepada imam yang bertanggungjawab menyampaikan khutbah Jumaat.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya doa dalam khutbah kedua hanya menyebut gelaran atau jawatan pemerintah tanpa menyatakan nama individu yang masih menjadi pertikaian.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai penyelesaian lebih adil dan harmoni, sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
Katanya, imam-imam terbabit tidak mahu dilihat membelakangkan arahan pihak berkuasa agama, namun pada masa sama berusaha memastikan struktur adat Negeri Sembilan terus dihormati.
Terdahulu, Kosmo! Online kelmarin melaporkan kira-kira 250 jemaah terpaksa menunaikan solat zuhur selepas imam sebuah masjid di Jelebu meletakkan jawatan minggu ini.
















