LONDON – Arsenal menggalas misi cukup besar bagi menamatkan kemarau kemenangan 14 tahun di Anfield dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menjelang aksi bertemu Liverpool tengah malam ini.
Pengurus The Gunners, Mikel Arteta menganggap pertemuan itu merupakan peluang terbaik buat Arsenal menamatkan penantian tersebut memandangkan mereka dianggap berada rentak sempurna musim ini.
Menurut beliau, Arsenal akan menampilkan corak permainan secara terbuka dan tidak menerapkan aksi bertahan kerana sudah memasang hasrat untuk membawa pulang tiga mata penting ke Stadium Emirates.
“Ini merupakan satu peluang. Saya pernah pergi ke sesuatu venue dan tidak menang dalam tempoh 18 hingga 20 tahun, jadi Ahad nanti (tengah malam ini) adalah peluang terbaik untuk tamatkan penantian 14 tahun di Anfield.
“Apa yang pasti, kami akan pergi ke sana dengan satu matlamat dan bermain secara menyerang. Kami sudah hampir (menang) dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan, jadi kali ini kami mahu bawa pulang tiga mata,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga tidak sabar untuk membuat perhitungan dengan pengendali Liverpool, Andoni Iraola yang dianggap sebagai rakan karib kerana pernah bermain bersama dalam satu pasukan.
“Bagi saya, ini satu penghormatan untuk bermain menentang salah seorang kawan baik sendiri. Terlibat dalam satu perlawanan yang besar dengan mengemudi pasukan terbaik merupakan detik manis untuk kami,” ujar Arteta. – AGENSI
















