fbpx
ALEX menamatkan penantian lebih 400 hari untuk melakukan catatan masa terpantas untuk meraih petak utama perlumbaan di GP Malaysia.

MotoGP: Alex Marquez tewaskan abang sambar petak utama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANG – Kemarau lebih setahun tanpa petak utama akhirnya berakhir buat Alex Marquez apabila pelumba Gresini Racing itu mencipta kejutan dengan menewaskan abangnya, Marc Marquez pada sesi kelayakan Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.

Kejayaan itu menamatkan penantian Alex sejak kali terakhir meraih petak utama pada GP Catalunya tahun lalu selepas mencatat masa terpantas satu minit 56.493 saat (s) dalam sesi Kelayakan 2 (Q2), sekali gus kembali menguasai petak pertama selepas 420 hari.

Lebih manis, pelumba Sepanyol itu mengetepikan pelumba Ducati, Marquez dengan kelebihan tipis 0.070s, manakala pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pedro Acosta melengkapkan barisan hadapan di kedudukan ketiga dengan catatan 1:56.577s.

Alex mengakui tidak menjangkakan mampu menghasilkan catatan sepantas itu selepas berdepan kesukaran pada sesi latihan awal, namun penambahbaikan terhadap tetapan jentera membuahkan hasil ketika kelayakan.

“Sejujurnya, saya tidak menjangka mampu mencatatkan masa sepantas ini. Sejak percubaan awal lagi catatan masa sudah berada pada 1:56.6s dan saya fikir ia jauh lebih baik daripada jangkaan.

“Pada saat itu, saya beritahu pasukan bahawa saya mahu menekan jentera secara maksimum untuk satu pusingan lagi. Sebaik melintasi laluan lurus dan melihat kedudukan di skrin, saya sukar mempercayainya.

“Segala pelarasan jentera berfungsi dengan cemerlang selepas beberapa penambahbaikan yang kami lakukan pada sesi sebelah pagi dengan menggunakan tayar terpakai,” katanya.

Sementara itu, Marc yang terpaksa berpuas hati di petak kedua mengakui adiknya berhak meraih kedudukan teratas selepas mempamerkan tunggangan lebih pantas, selain menyifatkan kedudukannya di barisan hadapan sebagai masih menepati sasaran pasukan.

Dalam perkembangan berasingan, cabaran pencabar kejuaraan dunia, Jorge Martin di GP Malaysia berakhir lebih awal apabila Aprilia Racing mengesahkan pelumba itu terpaksa menarik diri daripada baki perlumbaan minggu ini susulan kecederaan retak pergelangan tangan yang dialaminya di Australia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN