Oleh KHAIRULMIZAN YAHYA
KUANTAN – Hanya 25 peratus atau kira-kira 400,000 individu sudah membuat pendaftaran vaksin Covid- 19 daripada kira-kira 1.6 juta jumlah keseluruhan penduduk negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu, lebih 360,000 rakyat negeri ini mendaftar melalui aplikasi MySejahtera manakala 270,000 individu mendaftar menerusi Sistem Imunasi Covid-19 Pahang (SICP).
“Bilangan pendaftaran ini masih rendah berbanding sasaran 80 peratus daripada jumlah penduduk negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) fasa dua di Wisma Belia, di sini, hari ini.
Menurut beliau, faktor geografi serta sikap tunggu dan lihat dipercayai menjadi punca pendaftaran vaksin Covid-19 di negeri ini masih rendah biarpun pelbagai usaha sudah dilaksanakan kerajaan.
“Berita palsu mengenai suntikan vaksin ini yang tular di kalangan masyarakat dipercayai menjadi punca ramai yang belum mendaftar.
“Dengan jumlah kes yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, kita harap dengan menyegerakan suntikan vaksin ini dapat memperlahankan penyebaran jangkitan virus Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan mengadakan mesyuarat dengan pihak berkaitan bagi meningkatkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.
Mengenai pemberian vaksin fasa dua di Pahang, Wan Rosdy berkata, ia membabitkan warga emas berusia 60 tahun ke atas bermula hari ini dan dijangka dapat diselesaikan pada Mei depan.
“Di Pahang, sebanyak lima PPV fasa dua dibuka termasuk di Kuantan, Bentong, Temerloh, Lipis, dan Rompin membabitkan jumlah keseluruhan 360,000 penerima manakala bagi suntikan pertama hari ini, seramai 1,820 dijangka akan menerima suntikan,”ujarnya.