KEBANYAKAN penduduk asal di sekitar Permatang Rawa dan Padang Lalang di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pastinya pernah mendengar kisah seorang lelaki misteri yang diberi gelaran ‘Panglima Hitam’ oleh penduduk sekitar tahun 1980-an.
Meskipun terdapat beberapa versi berbeza mengenai kisah tersebut, rata-ratanya menggambarkan lelaki itu seorang berwatak antagonis serta suka mengganggu penduduk.
Menurut cerita orang lama, lelaki itu dikatakan sering berpakaian hitam seperti seorang pahlawan Melayu siap bertengkolok dan tinggal di kawasan titi kayu diberi nama Titi Pak Dogol yang menjadi laluan penduduk berulang-alik dari Permatang Rawa ke Padang Lalang dan sebaliknya.
Mungkin cara berpakaian seperti pendekar itulah, lelaki yang cacat tanpa kedua-dua kaki itu diberi gelaran ‘Panglima Hitam’ oleh penduduk.
Kawasan titi kayu itu kini digantikan dengan satu terowong kecil di bawah landasan keretapi selari dengan peredaran masa.
Biarpun sudah lama meninggal dunia, namun ceritanya kembali timbul ekoran ada penduduk yang melalui jalan tersebut pada waktu malam ternampak kelibat manusia berpakaian hitam seperti susuk tubuh ‘Panglima Hitam’ yang diceritakan penduduk.
Menurut seorang penduduk, Nizam Abdullah, 51, mereka yang terserempak mendakwa, kelibat lelaki itu berpakaian tidak ubah seperti ‘Panglima Hitam’ mundar-mandir di kawasan berkenaan.
“Ada mendakwa ternampak kelibat lelaki itu memancing ikan di sungai berdekatan, apabila ditegur rupanya orang lain,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Ekoran itu, kata Nizam, ramai penduduk takut untuk melalui kawasan tersebut pada waktu malam terutamanya ketika hujan lebat yang menyebabkan perasaan berasa seram sejuk apabila memikirkan perkara itu.

Ketika hidup, lelaki itu sering bersembunyi di tempat terlindung semata-mata untuk menakutkan penduduk kampung terutamanya kanak-kanak yang melalui kawasannya.
Kawasan rumahnya dahulunya terletak berhampiran titi kayu tersebut.
Kata Nizam, ‘Panglima Hitam’ dikatakan selalu duduk berhampiran titi itu atau bersembunyi tidak jauh dari situ untuk menakutkan ‘mangsanya’
“Dahulu, budak kecil yang dalam perjalanan untuk pergi mengaji selalu dikacaunya sehingga ada yang menangis,” katanya
Dalam pada itu, bagi seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zamri, 55, pula berkata, kisah ‘Panglima Hitam’ antara yang popular terutama dia berusia remaja.
“Bapa saudara saya berkata, lelaki itu seorang pendiam, namun berubah menjadi agresif selepas kehidupannya diganggu.
——————————————————————————–
Artikel ini diambil daripada kepercayaan masyarakat di sesuatu tempat sejak zaman-berzaman bertujuan untuk pendidikan dan bukan menggalakkan kepercayaan karut atau tahyul.
















